Beri peluang generasi baru bertanding – Anwar
TIDAK semestinya perjuangan perlu diterjemahkan menerusi bertanding dalam pilihan raya, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden PKR itu berkata, tidak semua pemimpin daripada parti itu perlu diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Malah, Anwar menjelaskan, semua pihak dalam parti memainkan peranan masing-masing, saling membantu antara satu sama lain.
Jelasnya, muka-muka baharu seperti golongan generasi baharu perlu diberi peluang untuk bertanding pada pilihan raya tersebut.
“Saya ingin tegaskan (kepada) Tian Chua, tidak semua perjuangan itu harus melalui jalur pilihan raya.
“Kita perlukan sokongan tokoh-tokoh lama ini dalam parti untuk terus bimbing anak-anak muda,” katanya pada sidang media pada Majlis Muktamar Nasional kali ke-16, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), di Bangi, hari ini.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua yang memberi amaran bahawa langkah PKR menggugurkan beberapa Ahli Parlimen menjelang PRU-15 boleh menjejaskan parti.
Menurutnya, terdapat ramai dalam kalangan ahli parrti itu kecewa dengan keputusan yang telah dibuat pucuk pimpinan dalam memilih calon-calon untuk bertanding di beberapa kerusi dalam pilihan raya kali ini.
Antara bekas ahli Parlimen PKR yang tidak akan mempertahankan kerusi mereka termasuk, Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), R Sivarasa (Sungai Buloh), Tan Yee Kew (Wangsa Maju), June Leow (Hulu Selangor), Johari Abdul (Sungai Petani) dan Chan Ming Kai (Alor Setar).
Bagaimanapun, Anwar berkata, pihaknya mengambil serius teguran Tian Chua kerana beranggapan bekas ahli Parlimen Batu itu mempunyai banyak jasa dan khidmatnya kepada parti.
“Semalam saya jumpa dia sebentar dengar pandangan beliau.
“Sepertimana saya sebut dalam ucapan (pengumuman calon PKR semalam), tidak boleh semua dikekalkan. Kalau dikekalkan semua orang beri sumbangan jadi generasi baru tak mungkin bangkit,”katanya. – Malaysiapost