KPLB sedia dana RM114 juta untuk usahawan desa
KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan dana lebih RM114 juta tahun depan bagi menyediakan ekosistem kepada usahawan luar bandar meluaskan pasaran dan meningkatkan pendapatan.
Peruntukan itu bagi menyokong perkembangan 64,000 usahawan luar bandar di bawah KPLB di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata penganjuran Mini Karnival Usahawan Desa (KUD), antara inisiatif KPLB untuk memperkasakan ekosistem sedia ada untuk usahawan terlibat.
“Program ini menyediakan platform kepada semua pihak yang terlibat dalam rantaian keusahawanan termasuk pengeluar, pembekal, pemborong dan pengedar untuk menjalin kerjasama strategik termasuk meluaskan jaringan perniagaan.
“Melalui program itu juga KPLB dapat mengumpul maklumat dan maklum balas daripada usahawan luar bandar mengenai keberkesanan program pengukuhan keusahawanan yang dilaksanakan oleh agensi di KPLB,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutupan Mini KUD Padang Terap di Kuala Nerang, Kedah hari ini.
Jelas Mahdzir, hampir semua agensi di bawah KPLB mempunyai program khusus untuk pembangunan usahawan luar bandar.
Bercakap mengenai Mini KUD Padang Terap, beliau memaklumkan ia mencatatkan nilai jualan tunai lebih RM200,000 dengan kehadiran lebih 30,000 pengunjung sepanjang tiga hari bermula Khamis lalu.
“Ia melepasi sasaran awal sebanyak RM200,000, jika kita mengambil kira sesi padanan perniagaan atau ‘business matching’ nilai keseluruhan yang berjaya dicatatkan mencecah RM450,000,” katanya.
Tambah beliau, elemen penting penganjuran Mini KUD adalah sebagai platform mempromosi kemudahan serta inisiatif yang disediakan KPLB dan agensinya bagi membantu usahawan luar bandar.
”Program ini juga menjadi salah satu medium untuk mewujudkan akses pasaran produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar kepada pemborong, pengedar dan pembeli.
“Selain meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran produk luar bandar serta meneroka peluang pasaran baharu yang lebih besar,” katanya.
Mahdzir berkata, kumpulan sasar bagi Mini KUD itu adalah usahawan luar bandar yang telah mendapat bimbingan dalam meningkatkan produktiviti dan pengembangan perniagaan.
Sementara itu, pada majlis sama, beliau juga menyampaikan geran Skim Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) kepada 1,032 usahawan desa bernilai lebih RM5.1 juta.
Mahdzir turut menyampaikan bantuan penyediaan warung desa dan peralatan kepada 11 usahawan di bawah Program Peningkatan Pendapatan (PPP) bernilai RM110,000. – Malaysiapost