Lebih RM1 bilion untuk naik taraf, selenggara jalan Persekutuan di Pahang

Lebih RM1 bilion untuk naik taraf, selenggara jalan Persekutuan di Pahang

Ben Ibrahim

KERAJAAN menyediakan peruntukan berjumlah RM1.3 bilion bagi kerja naik taraf dan penyelenggaraan jalan Persekutuan di Pahang.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, RM572.8 juta adalah bagi projek pembinaan dan menaik taraf jambatan serta jejantas manakala bakinya bagi kerja penyelenggaraan jalan sedia ada.

“Peruntukan ini sekaligus akan membuka kawasan baharu dan merancakkan ekonomi dan taraf hidup penduduk setempat.

“Kerajaan juga komited melaksanakan pakej central spine road (CSR) sepanjang Kuala Krai, Kelantan ke daerah Bentong, Pahang sejauh 350 kilometer tanpa tol.

“Projek ini membabitkan kos RM8.7 bilion dan dijangka siap pada tahun 2026,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di Kuantan, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Ismail Sabri turut berkata, terdapat 40 projek baharu membabitkan sektor pendidikan melalui ‘Rolling Plan’ Kedua Rancangan Malaysia Ke-12 tahun ini di Pahang.

Katanya, dua projek klinik kesihatan bersama kuarters bernilai RM40 juta sedang dibina di Raub dan Kuala Triang, Bera dan dijangka siap tahun depan.

“Semua inisiatif ini dapat dilaksanakan jika kerajaan yang saya terajui diberi mandat dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15), supaya (Bajet 2023) dapat dibentangkan sekali lagi di Dewan Rakyat untuk dibahaskan dan diluluskan,” katanya. – Malaysiapost 

Komen