Niat berunding dengan PN,PH lambang Tun M berjiwa besar
NIAT murni Tun Dr Mahathir Mohamad telah dipamerkan secara terbaik mungkin demi menyelamatkan Malaysia termasuk sanggup berunding dengan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).
Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, berkata malangnya tokoh-tokoh pemimpin pembangkang lain lebih rela dibelenggu sifat egoistik atau individualistik yang terlalu tinggi.
Menurutnya, keseluruhan parti-parti pembangkang mempunyai niat yang sama untuk menewaskan Umno serta Barisan Nasional (BN) yang secara berterusan merosakkan negara secara berskala besar.
“Dr Mahathir amat fokus dalam wadah perjuangan beliau untuk selamatkan Malaysia. Sebab itu beliau berusaha keras untuk satu padukan keseluruhan parti-parti politik pembangkang ke arah menewaskan Umno dan BN.
“Menewaskan Umno dan BN membawa erti kita akan berjaya untuk selamatkan masa depan bangsa serta negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi GTA Wilayah Persekutuan berkata, hakikatnya Dr Mahathir tidak pernah takut ataupun gentar dalam perjuangan politik kerana beliau bukan orang baru dalam arena politik, tetapi seorang tokoh negarawan berkelas dunia.
“Ke arah untuk merealisasikan matlamat bersama, Dr Mahathir menekankan bahawa semua pembangkang kena bersatu padu secara total jika mahu menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.
“Pemimpin-pemimpin pembangkang akan berjaya menumbangkan Umno dan BN sekiranya sanggup ketepikan ego dan ke meja rundingan, seterusnya berpegang pada prinsip semangat penyatuan pada 2018 jika hendak menang lagi,” katanya.
Khairuddin berkata, daya usaha Dr Mahathir amat ikhlas serta berjiwa besar demi masa depan bangsa dan negara.
“Kini rakyat sendiri dapat melihat keangkuhan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Pengerusi PH) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi PN) yang menolak tawaran Dr Mahathir untuk semua pihak berunding bagi mencapai matlamat yang sama.
“Sampai tahap mana kita mahu Dr Mahathir merendahkan dirinya merayu secara jujur serta ikhlas bagi memenangkan
pembangkang?” soalnya.
Beliau bagaimanapun menegaskan, GTA yang akan menggunakan logo Pejuang sudah bersedia bertanding secara solo bersama parti-parti komponen, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu-individu ternama negara. – Malaysiapost