Pelajar di institusi bawah KPM diberi cuti pelepasan mengundi

Pelajar di institusi bawah KPM diberi cuti pelepasan mengundi

SEMUA pelajar di institusi bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diberi cuti pelepasan untuk pulang mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bermula 17 hingga 21 November ini.

KPM dalam satu kenyataan memaklumkan, semua pelajar di Institut Pendidikan Guru, Kolej Matrikulasi, Kolej Vokasional dan Tingkatan Enam diberi cuti pelepasan itu untuk mengundi.

“Ketetapan KPM ini adalah selaras dengan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai tarikh hari pengundian PRU-15 yang telah ditetapkan pada 19 November ini.

“Tempoh pelepasan yang diberikan ini adalah bagi membolehkan pelajar mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat perjalanan pergi dan balik ke lokasi pusat pengundian masing-masing,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPM lagi, ketetapan itu juga adalah sebagai tanda sokongan kementerian bagi pelaksanaan Undi 18 yang telah diwartakan oleh Kerajaan pada 1 Disember 2021 dan berkuatkuasa mulai 15 Disember 2021.

“Sehubungan dengan ini, semua kelas atau aktiviti yang melibatkan pelajar dalam tempoh tersebut perlu ditangguhkan ke suatu tarikh lain.

“KPM sentiasa komited untuk terus melaksanakan yang terbaik,” katanya. – Malaysiapost

Komen