Pembangkang enggan PRU15 tapi paling awal sedia calon – Ahmad Maslan
SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menyindir parti pembangkang yang beria-ia menolak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera, tetapi mereka paling awal menyiapkan senarai calon.
“Saya pelik, mereka yang awal tidak mahu adakan PRU15, tetapi mereka yang mengeluarkan senarai calon dahulu,” katanya memetik Berita Harian.
Ahmad berkata demikian pada majlis Pelancaran Jentera PRU15 Barisan Nasional (BN) Hulu Langat di Beranang, hari ini yang turut dihadiri Ketua Umno Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abdul Aziz.
Sejak beberapa hari lalu, parti pembangkang utama sudah mula mengumumkan senarai calon masing-masing sama mengikut negeri atau serentak bagi seluruh negara.
Beliau menegaskan, tidak menjadi masalah kepada Umno dan BN tidak mengumumkan lagi senarai calon kerana sudah menjadi kelaziman perkara itu dibuat tiga atau empat hari sebelum penamaan calon.
Malah, katanya, ia bukan sesuatu yang luar biasa meskipun PKR semalam mengumumkan calonnya untuk bertanding 72 kerusi Parlimen pada PRU15.
“Biar mereka umum dulu, mungkin calon mereka tidak dikenali, berbeza calon Umno, mereka dikenali,” katanya.
Katanya, senarai calon Umno dan BN hanya akan diumumkan oleh Presiden Umno merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada waktu yang sesuai minggu depan.
“Hari ini Sabtu, esok (Ahad)… sekurang-kurangnya tidak, pastinya minggu depan. Ada Isnin, Selasa, kita akan maklumkan apabila tiba masanya minggu depan. Senarai itu ada pada presiden, senarai lain adalah palsu.
“Seperti pilihan raya negeri (PRN) kita memang buat (pengumuman calon) tiga empat hari sebelum hari penamaan calon,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berharap pengundi Umno, BN kekal teguh dan tidak terpikat dengan janji-janji dibuat sebelum dan selepas ini oleh pembangkang.
“Kita berusaha memastikan 99 peratus kumpulan pengundi yang dianggap penyokong tegar atau putih keluar mengundi walau apa jua cabaran, berapa penjuru sekali pun kerana mereka tetap teguh bersama BN.
“BN ada keyakinan untuk menang PRU15, menang 112 kerusi. Selepas itu, baru kita akan berpakat dengan parti lain, khususnya Sarawak,” katanya menjelaskan BN ada kelebihan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berbanding Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).
“Ini kerana kita apabila kita melepasi 112 kerusi, kita akan jemput GPS menyertai kita. Malah, saya mendapat maklum balas sangat positif daripada rakyat Sabah dan Sarawak terhadap janji BN akan wujudkan tiga Timbalan Perdana Menteri (TPM).
“Hal ini tidak pernah dijanjikan sebelum ini dan ia memberikan semangat baharu kerana tidak pernah ada wakil dari Sabah dan Sarawak menjadi TPM,” katanya menegaskan tiga TPM tidak membazir kerana jawatan empat menteri kanan seperti sekarang mungkin ditiadakan nanti.
Sementara itu, Johan berkata, BN Hulu Langat sangat menaruh harapan untuk merampas kembali kerusi Parlimen itu yang sudah tiga penggal menjadi milik penbangkang.
“Sehingga kini 90 peratus persediaan jentera kita sudah lakukan. Kita akan memastikan 99 pengundi putih (penyokong tegar) keluar mengundi,” katanya. – Malaysiapost