PRU15: Tiga nama besar PKR digugur

PRU15: Tiga nama besar PKR digugur

PKR menggugurkan tiga nama besar sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini. 

Penyandang kerusi Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul tidak diumum pada majlis pengumuman calon-calon PKR di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ampang malam tadi. 

Bagaimanapun, anaknya Dr Mohamed Taufiq Johari, 26, diumum bertanding sekali gus akan meneruskan legasi Johari di Sungai Petani

PKR turut menggugurkan Maria Chin Abdullah daripada mempertahankan kerusi Parlimen Petaling Jaya.

Tempatmya diambil alih bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu, Pahang, Lee Chean Chung. 

Selain itu, penyandang kerusi Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa juga diumum tidak bertanding pada PRU kali ini. 

Beliau yang menjadi wakil rakyat selama dua penggal tidak dicalonkan pada PRU15 ini, kerusi itu akan ditandingi Timbalan Ketua Penerangan PKR, Datuk R Ramanan.

Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis pengumuman calon itu, mengingatkan mana-mana pemimpin yang tidak dinamakan untuk bertanding kali ini supaya tidak lupa perjuangan asal PKR dan jangan khianat dengan parti.

“Dalam proses pemilihan itu, ada yang terpaksa kita gugurkan, terutama beberapanya yang sudah memberi sumbangan. Demikianlah hukum alam, mesti ada peralihan.

“Tidak boleh orang sama kekal (bertanding) sampai bila-bila. Yang tidak mendapat tempat, ingat sumpah keramat kita. Kita berjuang bukan kerana mahu menjadi calon, tapi membela nasib rakyat,” katanya. -Malaysiapost

Komen