PRU15 : Umno mesti berani gugurkan calon ‘besar kepala’ – Puad

PRU15 : Umno mesti berani gugurkan calon ‘besar kepala’ – Puad

DATUK Mohd Puad Zarkashi senada dengan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu memastikan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) parti itu tidak ‘besar kepala’.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, itu berkata Umno perlu mengutamakan calon yang berdisplin dan mempunyai sifat setia kawan.

“Umno mesti berani menggugurkan mereka daripada senarai calon. Umno tidak boleh membenarkan wujud ‘Kluster ahli Parlimen’ dalam Umno,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Mohd Puad berkata, Umno perlu mengambil pengalaman berhadapan dengan pemimpin parti itu yang tidak menghormati Umno, MKT serta ketua whip.

Ujarnya, malah lebih teruk ada di antara mereka yang menjadi orang tengah atau juru bicara bagi pihak lawan Umno.

“Lebih pahit ada pula yang jadi juru cakap pihak lawan. Keputusan parti dipersalahkan. Bukan itu sahaja mereka memburuk burukkan keputusan parti sebagai ketinggalan.

“Ini masa terbaik membina ‘kestabilan’. Bukan sahaja untuk negara tetapi juga dalam parti,” katanya. – Malaysiapost

Komen