Sanusi yakin PN sapu bersih Parlimen di Kedah
PERIKATAN Nasional (PN) melaungkan keyakinan bakal menyapu bersih semua 15 kerusi Parlimen di Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.
Pengerusi PN Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yakin pengundi negeri itu akan memangkah kertas undi memilih PN sekaligus menang semua Parlimen termasuk kubu kuat Tun Dr Mahathir Mohamad di Parlimen Langkawi
Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, gabungan itu mampu mengalahkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada 19 November ini.
“Pada PRU sebelum ini, PH memenangi 10 kerusi Parlimen diikuti PAS dengan tiga kerusi manakala BN menang dua kerusi di Kedah.
“PH dan BN menang dengan majoriti kecil… jadi kita boleh menang kerusi pada PRU-15 jika kita bekerja keras di bawah gabungan PN,” katanya pada majlis pelancaran jentera pilihan raya PN Kedah di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut, malam tadi.
Perasmian jentera itu disempurnakan Timbalan Pengerusi PN Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS turut mengumumkan, PN telah menyelesaikan pembahagian kerusi Parlimen di Kedah.
“Kita sudah mencapai kata sepakat, PAS akan bertanding di lapan kerusi Parlimen manakala Bersatu akan mendapat tujuh kerusi,” katanya.
Sanusi menegaskan, PN perlu memenangi 15 kerusi Parlimen di Kedah bagi menyumbang ke arah pembentukan kerajaan Persekutuan selepas pilihan raya ini.
“Kita perlu ada seramai mungkin ahli Parlimen PN dari Kedah, supaya mereka membawa suara kita di peringkat Persekutuan.
“Kami mahu mereka bekerja keras untuk membawa lebih banyak pembangunan kepada Kedah,” katanya. – Malaysiapost