Tun M sanggup rendah diri untuk kerjasama dengan PN

Tun M sanggup rendah diri untuk kerjasama dengan PN

TUN Dr Mahathir Mohamad sanggup merendahkan diri dan melupakan perbuatan ‘khianat’ Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadapnya bagi bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), untuk menumpaskan Umno.

Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu berkata, beliau bersedia untuk melakukan kerjasama berkenaan kerana kehendak rakyat.

“Kita dengar rakyat meminta supaya parti-parti pembangkang sepatutnya bergabung barulah kita boleh kalahkan Umno…itu kehendak rakyat.

“Dan kita pun fikir tak apalah walaupun dia tikam belakang, tetapi kerana bangsa, negara dan agama, kita sanggup rendahkan diri nak bekerjasama dengan Muhyiddin, kita sanggup walaupun dia khianat saya..tak apalah saya boleh lupakan perkara itu,” katanya ketika berucap pada Program Rapat Umum GTA Kedah, di Alor Setar malam tadi.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), berkata susulan itu beliau cuba untuk bekerjasama dengan PN dalam PRU-15, namun malangnya ditolak.

“Bila kita cuba nak kerjasama dengan Muhyiddin dalam PN dia jawab apa? Dia tak nak kerjasama dengan sesiapa sahaja…bukan main sombong.

“Kononnya dia boleh menang dan nak letak 222 calon di semua kawasan supaya boleh menang dan jadi Perdana Menteri kali kedua,” katanya.

Menceritakan ‘khianat’ yang dirasainya, Dr Mahathir berkata ketika menjadi Perdana Menteri selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU-14 dan Muhyiddin nampak peluang menjadi Perdana Menteri hingga sanggup ‘tikam’ belakangnya.  

“Saya dalam proses untuk memperbaiki kedudukan ekonomi orang Melayu ketika itu, tetapi oleh kerana Muhyiddin lebih mengutamakan untuk menjadi Perdana Menteri maka dia tikam saya daripada belakang…sakit kena tikam dari belakang.

“Tetapi bila dia jatuh…dia datang jumpa saya minta tolong supaya dia jadi Perdana Menteri kali kedua. Saya tak boleh nak tolong dia (ketika itu), kerana ‘keris’ masih ada terlekat di belakang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Penaja GTA, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, dalam ucapan di majlis sama memaklumkan GTA menyasarkan bertanding 120 kerusi Parlimen dan pengumuman calon akan dibuat pada 2 November ini.

“Kita akan buat majlis pengenalan calon kesemuanya pada 2 November ini di pusat, tapi dari semasa ke semasa kita akan buat pengumuman dua tiga calon di peringkat negeri atau pun di pusat.

“Keseluruhan kerusi sasaran kami GTA akan bertanding di 120 kerusi tapi angka itu akan dimuktamadkan kemudian, mungkin lebih mungkin kurang.

“Di Kedah, tidak kurang 10 kerusi Parlimen akan ditandingi,” katanya. – Malaysiapost

Komen