Wong Tack dakwa DAP tidak calonkannya di mana-mana kawasan di Pahang

Wong Tack dakwa DAP tidak calonkannya di mana-mana kawasan di Pahang

PENYANDANG kerusi Parlimen Bentong, Wong Tack menegaskan hanya ditawarkan bertanding di Parlimen Cameron Highlands selepas ahli akar umbi membantah usaha ‘melenyapkannya’ dari bertanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau sekaligus menafikan kenyataan pimpinan DAP yang mengatakan beliau tidak digugurkan sebaliknya ditawarkan untuk bertanding di kawasan gantian itu.

Menurutnya, pada 16 Oktober lalu Jawatankuasa DAP Pahang memaklumkan tidak akan mencalonkannya di Bentong atau mana-mana kawasan di Pahang.

“Saya akan ‘hilang’ sepenuhnya dari Pahang. Terdapat reaksi kurang senang daripada akar umbi terutamanya di kalangan ahli parti di Bentong apabila mendengar berita ini.

“Mereka mendapati keputusan parti tidak logik kerana pasukan sedia ada bekerja keras selama bertahun-tahun untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, Bentong adalah kawasan yang besar membabitkan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Ketari, Bilut, Pelangai dan Sabai.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penduduk Bentong telah menghadapi begitu banyak cabaran terutamanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kebakaran besar di Karak dan banjir besar.

“Kami bekerja keras membantu rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang politik sebaik mungkin. Saya percaya ramai penduduk tempatan boleh membuktikan perkara ini dan kami yakin rakyat akan memberikan mandat semula,” katanya.

Menurutnya, kerusi Cameron Highlands hanya ditawarkan selepas beliau dan ahli akar umbi menegaskan akan mempertahankan kerusi Bentong.

“Saya segera menolak tawaran itu. Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP) meminta untuk bertemu pada 23 Oktober lalu. Ini kali pertama saya berjumpa dengan pemimpin tertinggi parti berhubung perkara ini.

“Walaupun saya telah memberitahu keputusan saya di Cameron Highlands beberapa kali, Anthony Loke meminta saya untuk mempertimbangkan semula,” katanya yang berakhir dengan pendirian beliau untuk bertanding di Bentong atas tiket Bebas.

Wong Tack berkata, beliau tidak tergolong dalam mana-mana puak dalam parti serta tidak berminat dan tidak pernah bermain politik parti.

“Politik mestilah tentang rakyat. Ia tidak sepatutnya menjadi permainan retorik, manipulasi atau strategi kosong semata-mata untuk memenangi pilihan raya.

“Sudah tiba masanya untuk menanam benih untuk membina platform kuasa rakyat sebenar dalam politik, dan saya harap ia bermula dari Bentong,” katanya. – Malaysiapost

Komen