Zuraida, 12 Ahli Majlis Tertinggi PBM digantung

Zuraida, 12 Ahli Majlis Tertinggi PBM digantung

DATUK Larry Sng Wei Shien yang mendakwa masih lagi Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) bertindak menggantung 12 Ahli Majlis Tertinggi parti berkenaan berkuatkuasa serta-merta.

Perkembangan terbaharu itu sekaligus mengheret PBM kepada krisis dalaman yang semakin meruncing.

Dalam satu kenyataan malam tadi, Larry Sng berkata penggantungan itu, termasuklah Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai ahli biasa PBM, ia susulan pembabitan berterusan individu itu menjejaskan kepentingan parti dan kepimpinannya.

“Saya amat membenci dan mengecam muslihat politik sebegitu yang telah menjejaskan kepercayaan kepimpinan saya dan telah menyebabkan banyak kekeliruan kepada ahli parti dan masyarakat umum.

“Oleh itu, jawatan mereka akan digantung sehingga jawatankuasa tatatertib ditubuhkan untuk meneliti perkara itu selepas pilihan raya,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, Mesyuarat Majlis Tertinggi PBM akan dipanggil Ahad ini di Sarawak untuk membincang dan menyelesaikan isu berkenaan dengan segera.

Larry Sng menegaskan, individu yang digantung tugas itu telah dimaklumkan melalui surat, dan mereka tidak akan dijemput untuk menghadiri mesyuarat itu.

Sementara itu dalam kenyataan terbarunya hari ini, penyandang kerusi Parlimen Julau itu menjelaskan pergolakan yang berlaku dalam PBM adalah bermula sejak Majlis Tertinggi mengadakan mesyuarat yang tidak sah pada 7 Oktober lalu.

Menurutnya, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PBM, Haniza Mohamed Talha dan dihadiri oleh beberapa Ahli Majlis Tertinggi.

“Sebahagian besarnya dianggotai oleh ahli parti yang tidak diiktiraf sebagai Ahli Majlis Tertinggi oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS). Saya difahamkan bahawa mesyuarat mereka tidak pun memenuhi korum yang diperlukan separuh daripada semua Ahli Majlis Tertinggi di bawah Fasal 21 (III).

“Susulan mesyuarat itu, Setiausaha Agung (Nor Hizwan Ahmad) telah mengeluarkan kenyataan yang mendakwa Datuk Zuraida Kamarudin telah dilantik sebagai Presiden baharu.

“Tiada peruntukan sedemikian dalam perlembagaan parti yang membenarkan penyingkiran Presiden atau mana-mana Ahli Majlis Tertinggi yang dipilih melainkan ia dilakukan dalam Mesyuarat Tahunan (AGM),” katanya.

Beliau berkata, dalam mesyuarat yang tidak sah itu juga telah diputuskan bahawa Setiausaha Agung dilantik mewakili parti dalam menandatangani watikah calon semasa pilihan raya umum.

“Ini jelas merampas kuasa Presiden, kerana hanya saya yang menandatangani watikah untuk semua calon PBM seperti yang dilakukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Dalam keadaan sedemikian, saya telah mengambil langkah yang perlu untuk menggantung Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan (Zakaria Abdul Hamid).

“Diikuti oleh Timbalan Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi yang telah menjerumuskan parti ke dalam keburukan dan menyebabkan banyak ketidakpastian mengenai jawatan Presiden yang dipilih secara sah,” katanya.

Beliau menegaskan hasrat perwakilan parti pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) PBM pada Januari 2022 di Sibu Sarawak, yang telah memilih barisan kepimpinan parti, mesti dihormati. – Malaysiapost

Komen