Cara kempen pihak lawan masih berkisar politik kebencian – Zahid

Cara kempen pihak lawan masih berkisar politik kebencian – Zahid

DATUK Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap pengundi yang belum pernah menyokong Barisan Nasional (BN) dapat mengenetepikan sentimen politik dan bersama gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN itu berkata, rakyat tanpa mengira fahaman politik harus bersama BN dalam PRU15 demi mengembalikan kestabilan dan kemakmuran di Malaysia. 

“Tidak mengapa jika anda sebelum ini bukan ahli dan bukan penyokong kepada BN yang amat berjasa kepada tanah air, tetapi demi Malaysia sahutlah seruan kesepakatan ini. 

“Ingatlah kestabilan serta kemakmuran amat-amat mustahak diperoleh pada PRU kali ini bagi menjamin masa depan negara dan anggota masyarakatnya,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Ahmad Zahid berkata, dunia diramalkan berdepan kemelesetan ekonomi global, maka nasib Malaysia dan rakyat tidak lagi boleh dipertaruh pada ketidakstabilan.

Katanya, gabungan politik selain BN sehingga hari ini masih bercelaru dan tiada hala tuju yang jelas untuk rakyat dan negara dalam memasuki gelanggang PRU.

“Cara berkempen dan cerita politik mereka masih berkisar pada politik kebencian, dendam, fitnah, manipulasi serta personaliti dan akan disusuli dengan janji-janji palsu sama seperti PRU yang terdahulu.

“Cukup-cukup sudah, zaman dah berubah, bukan masanya lagi, seluruh rakyat Malaysia dah tahu dan faham cara lama yang masih di pakai berterusan oleh mereka.

“Ketahuilah gabungan politik selain BN sedang `takutkan bayang-bayang sendiri’ kerana kezaliman pernah mereka lakukan terhadap pemimpin BN, maka sedang terdesak apa sahaja,” katanya lagi.

Beliau turut mempersoal sama ada gabungan-gabungan politik pihak lawan memasuki arena PRU15 untuk berkhidmat kepada rakyat atau semata-mata ketagih kuasa dan bimbangkan kemenangan BN. 

Tambah beliau, disebabkan itu pihak tersebut masih tercari-cari ruang sesama mereka untuk ‘berkomplot’ semula walaupun pernah saling memburuk-burukkan selepas berpecah-belah.

“Sedangkan fokus BN sejak dulu, kini dan selamanya dalam mendepani PRU adalah peluang mentadbir semula negara sebaik mungkin demi Malaysia dan rakyatnya. 

“Fahamilah BN satu-satunya harapan untuk mengembalikan kestabilan dan kemakmuran yang akan memanfaatkan setiap anggota masyarakat tanpa mengira ideologi politik,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menambah memberi kemenangan kepada BN akan menyampaikan mesej yang jelas kepada dunia bahawa rakyat Malaysia termasuk penyokong parti lain lebih mengutamakan negara berbanding politik. – Malaysiapost

Komen