Hasut boikot PRU15: Pengerusi Amanah Kedah dipecat
PENGERUSI Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi hari ini dipecat daripada parti itu susulan tindakannya menghasut ahli dan pemimpin Amanah untuk memboikot Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Ab Samad, berkata keputusan itu dibuat Jawatankuasa Pengurusan Amanah Nasional yang turut menyifatkan tindakan Phahrolrazi itu sebagai keterlaluan.
“Amanah mengambil keputusan memecat Datuk Phahrolrazi Zawawi, Pengerusi Amanah Kedah dari menjadi ahli Amanah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Khalid berkata, tindakan itu juga didakwa amat tidak wajar dan tidak boleh diterima, walaupun mereka boleh berbeza pandangan dalam strategi parti dan agihan kerusi.
“Ianya bagaikan tindakan sabotaj dan menjejaskan kepentingan Amanah dan Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Sehubungan itu katanya, Amanah mengakui dan mengucapkan terima kasih di atas jasa Phahrolrazi terhadap parti berkenaan selama ini.
“Ini termasuklah menjadi pemimpin awal yang sama-sama menubuhkan Amanah dan menjadi pemimpin Amanah di Kedah, namun tindakan beliau adalah keterlaluan,” katanya.
Semalam media melaporkan, Barisan kepimpinan Amanah Kedah didakwa akan memboikot calon PH bagi Parlimen Jerai pada PRU15.
Tindakan itu dikatakan bagi menzahirkan rasa ketidakadilan berhubung agihan kerusi yang ditandingi.
Difahamkan, ketidakpuasan itu timbul susulan kegagalan Amanah mempertahankan kerusi Parlimen Jerai sebaliknya terpaksa memberi laluan kepada calon DAP. – Malaysiapost