‘Jangan takut dengan Melayu GTA’ – Tun M
WALAUPUN Gerakan Tanah Air (GTA) adalah gerakan orang Melayu namun tidak bermakna gabungan berkenaan rasis atau bermusuh dengan kaum lain, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pengerusi Penaja GTA itu, berkata masyarakat bukan Melayu tidak perlu takut terhadap gerakan tersebut, selain memberi jaminan akan memberi tempat kepada kaum lain memerintah.
“GTA adalah gerakan orang Melayu. Ini tidak bermakna GTA rasis dan bermusuh dengan bukan Melayu. Jangan takut Melayu GTA.
“Melayu GTA akan beri tempat kepada kaum lain dalam pemerintahan. (Malah) Melayu GTA akan junjung tinggi keluhuran undang-undang dan pemisahan kuasa antara ‘legislative, executive dan judiciary’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Penasihat Parti Pejuang Tanah Air berkata, sejak Merdeka Malaysia diperintah oleh kerajaan yang didominasi oleh orang Melayu.
“Tetapi di masa Merdeka-lah orang bukan Melayu maju sehingga tertinggal orang Melayu di belakang.
“Walaupun usaha dibuat untuk kurangkan jarak antara Melayu dengan kaum lain, hak dan kemajuan perniagaan dan perusahaan orang bukan Melayu tidak terhalang,” katanya.
Pada 4 Ogos lalu, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan GTA yang disertai empat parti iaitu Pejuang, Berjasa, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).
Malah, GTA turut terbuka kepada badan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan, ahli akademik serta profesional dalam kalangan Melayu. – Malaysiapost