Kerajaan kaji semula kenaikan kadar IPG – PM
Ben Ibrahim
PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kajian semula kadar Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sedang dilakukan kerajaan bagi menjaga kepentingan pekebun kecil getah di seluruh negara.
Beliau berkata, kerajaan juga sedang berbincang dengan menteri kewangan mengenai kewajaran menaikkan kadar IPG RM2.50 ketika ini.
“Saya tahu ramai merungut supaya ditingkatkan (IPG), Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif (Pengerusi RISDA) bangkitkan dalam Parlimen, jumpa saya berkali-kali memohon supaya kadat IPG RM2.50 dipertingkatkan.
“Saya pun sudah berbincang dengan Menteri Kewangan dan kita akan lihat perkara ini, InsyaAllah kalau diberi peluang memerintah semula kita akan kaji untuk kepentingan pekebun kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pekebun Kecil Makmur Keluarga Malaysia di Padang Awam Kampung Batu Papan, Bera hari ini.
Ismail Sabri berkata, IPG diperkenalkan kerajaan amat signifikan dalam usaha membantu pekebun kecil getah dalam berhadapan harga getah tidak menentu.
“Sekiranya harga pasaran getah berada di paras RM2.50 sekilogram kalau tidak ada insentif seperti ini kalau harga getah turun kurang daripada RM2.50, pekebun kecil tidak akan dapat apa-apa tetapi dengan adanya insentif RM2.50 kalau harga RM2.40 kerajaan tanggung 10 sen untuk menampung kekurangan,” katanya.
Beliau menjelaskan, kerajaan sedar pentingnya sektor penanaman getah kepada peningkatan ekonomi negara dan memperkenalkan pelbagai inisiatif serta bantuan.
Katanya, ia termasuk program tanam semula getah dengan sasaran 20,000 hektar yang kini mencapai penanaman 10,000 hektar membabitkan 7,180 pekebun kecil.
Katanya, RISDA juga menerima permohonan tanam semula getah seluas 18,524 hektar daripada 12,381 pekebun kecil di seluruh negara.
“Pekebun kecil di Pahang turut menyumbang kepada peningkatan kawasan penanaman semula seluas 1,354.69 hektar.
“Ia melibatkan 901 pekebun kecil dengan peruntukan berjumlah RM43.6 juta bagi semua program pembangunan komoditi getah,” katanya. – Malaysiapost