Mohd Rafiq keluar parti bersifat peribadi, tidak jejas Bersatu Melaka
TINDAKAN Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen mengumumkan keluar parti hari ini tidak membabitkan membabitkan ahli jawatankuasa dan sayap Bersatu Bahagian Tangga Batu.
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub, berkata tindakan dan kenyataan Mohd Rafiq adalah bersifat peribadi dan sama sekali tidak menjejaskan persediaan Bersatu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Bersatu Melaka mengambil maklum peletakan semua jawatan dan keahlian Bersatu Mohd Rafiq. Tindakan dan kenyataan beliau bersifat peribadi dan tidak membabitkan ahli jawatankuasa serta sayap Bersatu Bahagian Tangga Batu.
“Bersatu bahagian kekal komited dan kukuh bersama-sama parti,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Mohd Yadzil berkata, sehubungan itu Bersatu Melaka kukuh menyokong kepemimpinan Presiden yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, Bersatu negeri juga komited menyiapkan jentera parti dan PN bagi menghadapi PRU15.
“Kami berikrar terus bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan PN menang, walau siapa pun calon bakal diumumkan pucuk kepemimpinan pusat tidak lama lagi,” katanya.
Terdahulu, Mohd Rafiq mengumumkan keluar Bersatu berkuat kuasa serta-merta, hari ini.
Pengumuman peletakan jawatan itu dibuat pada sidang media khas di Pantai Puteri, Melaka.
Katanya, peletakan jawatan tersebut susulan beliau tidak dicalonkan Bersatu pada PRU15 bagi kerusi Parlimen Tangga Batu, walaupun sudah enam tahun berkhidmat di kawasan itu sejak 2016.
Surat peletakan jawatan sudah dihantar kepada Muhyiddin beberapa hari lalu. – Malaysiapost