MTUC kecewa pihak pengurusan Utusan lepas tangan isu bekas pekerja
KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyelar pihak pengurusan Utusan Melayu (M) Bhd yang tidak mengambil tahu dan lepas tangan terhadap keadaan bekas pekerja yang terkesan akibat penutupan syarikat itu.
Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor, berkata tindakan membiarkan bekas pekerja berjuang mendapatkan pampasan daripada Utusan, jelas menunjukan keperibadian ahli lembaga pengarah yang rosak dan tidak layak menguruskan syarikat.
“MTUC bersetuju dengan kenyataan daripada Tan Sri Johan Jaafar Mantan Ketua Pengarang Utusan Melayu (M) Bhd bahawa bekas kakitangan perlu di bayar segera pampasan.
“MTUC ingin mengingatkan syarikat bahawa pembayaran pampasan adalah tanggungjawab yang perlu di tunaikan setelah bekas pekerja meyumbangkan tenaga dan masa muda mereka untuk keuntungan syarikat sehingga dapat membeli aset -aset hartanah yang berjumlah jutaan ringgit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kamarul Baharin berkata, pihaknya mengesyorkan kerajaan supaya ahli lembaga yang terlibat dalam penutupan Utusan dan gagal membayar pampasan kepada bekas pekerja diharamkan pendaftaran sebagai ahli lembaga untuk syarikat lain.
Katanya, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung lantikan ahli lembaga pengarah untuk menjaga kebajikan pekerja dalam sebarang keputusan adalah langkah yang baik dalam tadbir urus syarikat.
“MTUC mahu kepentingan dan kebajikan pekerja perlu di utamakan oleh mana-mana syarikat yang digulungkan.
“Kerajaan perlu membuat pindaan terhadap Akta Syarikat, Akta Kerja 1955 dengan memasukkan kewajipan Syarikat menjaga kebajikan bekas pekerja,” katanya. – Malaysiapost