Pembabitan ibu bapa, komuniti penting untuk transformasi pendidikan 

Pembabitan ibu bapa, komuniti penting untuk transformasi pendidikan 

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berusaha menggalakkan penglibatan ibu bapa dan komuniti dalam program dan aktiviti yang dilaksanakan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata perkara itu antara lain sebagai platform berkongsi aspirasi serta pandangan ke arah menjayakan transformasi pendidikan demi generasi pewaris negara. 

“Pada kesempatan ini, saya jelaskan mengenai pendekatan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan dalam usaha mentransformasi pendidikan, antaranya merangkumi pendigitalan, pengajaran, pembelajaran dan infrastruktur sekolah,” katanya.

Terdahulu, beliau meluangkan masa bersama-sama warga Bukit Antarabangsa, Selangor dalam Majlis Bicara Transformasi Pendidikan Bersama-sama Komuniti, pagi tadi.

Turut hadir, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap ADUN Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. 

Dalam pada itu, Radzi memaklumkan pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Ukay Sungai Sering sudah diluluskan dan pemilikan tapak juga telah selesai. 

“Saya berkongsi berita gembira buat warga Bukit Antarabangsa, Ukay Perdana dan Sungai Sering berkenaan pembinaan SK Ukay Sungai Sering, 

“Kini, KPM sedang dalam proses untuk melantik perunding bagi pelaksanaan projek,” katanya.

Beliau berkata, pembinaan sekolah baharu itu sekali gus dapat menyelesaikan masalah ibu bapa yang terpaksa menghantar anak ke sekolah yang agak jauh ketika ini.

“Pembinaan sekolah baharu ini juga dapat menyelesaikan masalah sekolah padat dengan menyuraikan sebahagian murid ke sekolah baharu.

“KPM komited memastikan pembinaan sekolah ini dilaksanakan mengikut perancangan demi kelestarian pendidikan anak-anak generasi pewaris negara,” katanya. – Malaysiapost

Komen