Pesta Halloween di ibu negara digempur
JABATAN Agama Wilayah Persekutuan (Jawi), polis dan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan serbuan ‘Pesta Halloween’ yang diadakan di ibu negara, malam tadi.
Menurut saksi yang enggan identitinya didedahkan, pesta berkenaan turut dimeriahkan ratu ‘drag’ sebagai penghibur, sebelum dihentikan susulan serbuan pihak berkuasa malam tadi, lapor MalaysiaKini.
Pihak berkuasa berpakaian seragam tiba di tempat kejadian di RexKL kira-kira jam 10 malam.
Difahamkan, sebelum itu pihak berkuasa berpakaian preman turut memantau pesta yang dihadiri kira-kira 100 pengunjung.
“Mereka bermula dengan mengasingkan orang ramai mengikut jantina yang ditetapkan (lelaki dan perempuan).
“Kemudian mereka memilih individu transgender dan mereka yang berpakaian ‘drag’ (lelaki berbaju wanita).
“Kebanyakan ratu drag akan menjadi penghibur, manakala transgender adalah peserta,” kata saksi itu.
Di Twitter, aktivis LGBT Numan Afifi berkata 20 orang dipercayai terdiri daripada ratu drag dan individu transgender diangkut dengan kenderaan Black Maria pada tengah malam tadi dan ditahan di pejabat Jawi.
Difahamkan, peguam telah dipanggil ke tempat pesta itu dan Numan kemudiannya menulis ciapan kira-kira jam 1.30 pagi bahawa 20 sukarelawan didapati menjamin mereka yang ditahan.
Difahamkan, semua individu yang ditahan Jawi telah diikat jamin setakat 5 pagi tadi. – Malaysiapost