PRU15: BN umum calon Selasa depan – Asyraf Wajdi
BARISAN Nasional (BN) akan mengumumkan kesemua 222 calon Parlimen gabungan itu yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Selasa ini.
Ketua Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mengesahkan perkara itu bagaimanapun enggan mendedah jumlah kerusi yang bakal ditandingi Pemuda Umno.
“Nantilah kita tunggu pengumuman rasmi, kalau tidak malam esok InsyaAllah malam lusa.
“Kita BN (calon) akan diumumkan pada Selasa depan,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazette.
Beliau berkata demikian selepas merasmi dan melepaskan konvoi 500 Jentera Bermotor Pemuda BN Sepang di Kompleks Muhibbah Tanjung Sepat, hari ini.
Sebelum ini, PKR mengumumkan 72 calonnya akan bertanding dalam PRU15 pada 19 November ini.
Ditanya kawasan yang bakal ditandinginya, Asyraf Wajdi yang juga Ketua Pemuda Umno, bagaimanapun bertindak kunci mulut sambil menjelaskan ia akan diketahui pada Selasa.
“Saya tidak akan bertanding di Sepang, (kawasan saya) kita tunggu Selasa malam,” katanya.
Sementara itu, tindakan Pakatan Harapan (PH) yang mengetengahkan calon berprofil tinggi dalam pilihan raya kali ini bukan wajah baharu.
“Katanya berprofil tinggi tapi hakikatnya calon kitar semula juga,” katanya. – Malaysiapost