PRU15: Calon Melayu DAP hanya boneka – Mahdzir
TINDAKAN DAP meletakkan ramai calon Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) didakwa hanya sebagai boneka bagi menunjukkan parti itu bersifat majmuk.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata tindakan itu juga adalah sebahagian strategi dan taktik DAP untuk meraih undi Melayu.
“Saya fikir tindakan itu adalah sebahagian daripada taktik untuk menunjukkan DAP parti berbilang kaum sedangkan kita semua tahu bahawa keputusan dalam parti tersebut, dibuat oleh sekumpulan individu tertentu saja.
“Kemudian mereka jadikan calon-calon Melayu sebagai boneka untuk menampakkan bahawa DAP merupakan sebuah parti majmuk,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Merasmikan Himpunan Anggota Kumpulan Pelaksana dan Pesara Kumpulan Pelaksana Pendidikan Daerah Padang Terap di Kuala Nerang, hari ini.
Tambah Mahdzir, DAP pada hakikatnya tahu ada antara calon yang ditampilkan tidak mempunyai potensi untuk menang.
“Kita tahu mereka ini tak boleh menang pun tetapi DAP letak saja sebagai calon kerana apabila ada yang bercakap mengenai calon Melayu, mereka boleh tunjukkan bahawa mereka letakkan peratusan calon Melayu lebih tinggi kali ini.
“Maka mereka bolehlah katakan kepada umum bahawa parti itu memang sudah meletakkan orang Melayu sebagai calon tetapi tak dapat berbuat apa-apa kerana calon tersebut kalah,” katanya.
Bagaimanapun, beliau yakin rakyat di negara ini sudah cukup arif untuk membuat penilaian sendiri dan tidak termakan dengan taktik itu.
“Dalam keadaan pelbagai kaum hidup secara bersederhana, DAP itu sendiri sudah dicap dalam minda orang ramai sebagai kumpulan agak ekstrem kepada kaum Cina,” katanya.
Pada PRU15 kali ini, DAP dilihat menampilkan lebih ramai calon Melayu antaranya Syahredzan Johan di Parlimen Bangi; Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (Lipis), Sheikh Umar Bagharib Ali (Ayer Hitam) serta Young Syefura Othman (Bentong).
Terbaharu, parti itu turut mengumumkan calon Melayu di Jerai iaitu Timbalan Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff. – Malaysiapost