PRU15: Hadi sah pertahan kerusi Parlimen Marang

PRU15: Hadi sah pertahan kerusi Parlimen Marang

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan mempertahankan kerusi Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu disahkanSetiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut.

Jelas Takiyuddin, beliau tidak mengetahui khabar angin yang mendakwa Abdul Hadi tidak bertanding pada PRU15 kali ini.

“Saya tidak tahu ada desas-desus bahawa beliau tidak akan bertanding pada PRU15. Bagaimanapun, saya mengesahkan beliau akan mempertahankan kerusi yang disandang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Program Seminar Pemerkasaan Ekopelancongan Sumber Asli, semalam.

Pada PRU14 lalu, Abdul Hadi menang di Parlimen Marang dengan meraih 53,749 undi menewaskan dua pencabarnya dari Barisan Nasional (BN) dan PKR.

Beliau juga menafikan berlaku protes susulan nama Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi digugurkan dari senarai calon.

“Kehendak satu-satu kumpulan memang ada tetapi apabila parti sudah membuat keputusan, semua akan diterima,” katanya.

Ditanya jumlah kerusi PN yang akan bertanding pada PRU15, Takiyuddin berkata, perkara itu belum ada keputusan muktamad.

“Kita ada 222 kerusi Parlimen dan belum pasti lagi berapa banyak mahu bertanding. Di Sarawak terdapat 31 Parlimen dan PN tidak bertanding di negeri itu.

“Di Sabah pula ada 25 Parlimen dan kita bersama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya. – Malaysiapost

Komen