PRU15: Kerusi Parlimen Tapah milik PH, bukan MUDA
PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menjelaskan kerusi Parlimen Tapah adalah milik Pakatan Harapan (PH).
Ketua Penerangan MUDA Luqman Long, berkata sehingga semalam MUDA telah mengumumkan tiga kerusi Parlimen iaitu Kepala Batas, Tanjong Karang dan Tanjung Piai yang akan ditanding parti itu.
“Rundingan MUDA-PH berkenaan jumlah kerusi telah dimuktamadkan juga pada 29 Oktober hari yang sama.
“Berkenaan kerusi Parlimen Tapah, MUDA ingin menyatakan bahawa kerusi ini milik Harapan, bukan MUDA,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Luqman berkata, Pengarah Pilihan Raya MUDA, Amira Aisya Abd Aziz juga telah mengumumkan beberapa lagi jumlah kerusi termasuklah di Sabah pada 31 Oktober dan di Muar pada 2 November ini.
Katanya, kerusi rasmi untuk MUDA juga hanya akan diumumkan oleh Amira Aisya, yang juga penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa.
“Komitmen MUDA-PH juga adalah untuk mengelakkan sebaran pertindihan kerusi antara MUDA-PH.
“Sebarang kenyataan yang bercanggah dengan komitmen MUDA-PH ini adalah bukan kenyataan rasmi MUDA,” katanya.
Terdahulu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan Parlimen Tapah menjadi antara kerusi yang akan ditandingi oleh MUDA pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya, MUDA mempertaruhkan Pengerusi Parti MUDA Perak Mutalib Uthman untuk bertanding di Parlimen tersebut.
Mutalib yang juga pengasas dan penaja bersama parti MUDA juga dilaporkan berkata, keputusan bertanding di kerusi itu hasil rundingan kerjasama politik di antara MUDA dan PH. – Malaysiapost