PRU15: Pemuda PH jamin manifesto kali ini ‘adalah kitab suci’
PEMUDA Pakatan Harapan (PH) berjanji 25 intipati tawaran Anak Muda Harapan yang diketengahkan sebagai manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ‘adalah kitab suci’.
Ketuanya, Dr Kelvin Yii Lee Wuen, berkata janji manifesto kali ini tidak akan menjadi kemarahan rakyat yang serik dengan stigma ‘manifesto bukan kita suci’ ketika PH memerintah negara diterajui Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sebelum ini, Dr Mahathir yang mengetuai pentadbiran PH selama 22 bulan selepas PRU14, mengingatkan bahawa manifesto PH bukan kitab suci.
Pada pelancaran tawaran anak muda harapan hari ini, Kelvin yang juga Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), menegaskan manifesto adalah janji yang akan ditunaikan PH sekiranya diberi mandat mentadbir negara selepas 19 November ini.
Malah, beliau berkata, Dr Mahathir ketika itu sebenarnya tidak mewakili PH dalam membuat kenyataan berkenaan, sebaliknya ia hanya pendapat bekas Pengerusi PH itu secara peribadi.
“Kenyataan itu tidak mewakili suara bersama dalam pemimpin PH, malah ingin saya kongsikan bahawa Lim Kit Siang ada terus berjumpa Tun Mahathir dan kata kepada beliau bahawa kita perlu hormati mandat rakyat serta tunaikan janji.
“Jadi ia bukan pandangan PH dan sudah pun berlalu, namun di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita akan mengambil berat setiap manifesto kerana ini memang kitab suci.
“Kita mahu bawa nafas baharu dalam politik, tidak hanya retorik dan janji kosong, manifesto ini adalah ‘peluru’ kita dengan menyediakan resolusi untuk anak muda,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya.
Turut hadir, Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli dan Ketua Angkatan Muda Harapan Pahang, Young Syefura Othman.
Manifesto Anak Muda Harapan pada PRU15 yang menggariskan lima tawaran utama turut mengulangi janji lama pada PRU14 yang tidak dapat ditunaikan antaranya perkara berkaitan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Manifesto PH kali ini menawarkan pelaksanaan program pemansuhan hutang bersasar khas PTPTN kepada golongan miskin dan isi rumah B40.
Jadual pembayaran semula PTPTN pula akan dilaksana berasaskan gaji bagi graduan baharu bermula RM4,000 dengan peratusan meningkat mengikut gaji.
Bagi AUKU pula, akta itu akan dimansuhkan bagi memberikan autonomi kepada pentadbiran universiti dan institut pengajian tinggi dengan pemegang taruh dalam hal tadbir urus akan dikembalikan semula kepada pelajar, pensyarah serta alumni.
Selain itu, manifesto kali ini turut menambahbaik tawaran pada PRU14 iaitu meluaskan program mySalam kepada program M40 dan Program Outreach Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).
Ia turut memperkenalkan program Kembara Siswa bagi meringankan beban mahasiswa yang mahu pulang kampung dengan menawarkan tiket pada harga tetap iaitu RM199 untuk penerbangan antara Sabah dan Sarawak ke Semenanjung serta sebaliknya. -Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Kelvin Yi Lee