PRU15: Pulihkan kehancuran negara hasil ‘tangan-tangan’ PH – Zahida 

PRU15: Pulihkan kehancuran negara hasil ‘tangan-tangan’ PH – Zahida 

RAKYAT mempunyai hak dan peluang untuk memulihkan kembali segala kehancuran hasil daripada ‘tangan-tangan’ Pakatan Harapan termasuk Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA).

Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan, berkata politik negara mula mengalami krisis sejak PH mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Tertubuhnya PH untuk tumbangkan BN pada PRU14. Rakyat harap lebih baik, malang sekali prestasi PH luar biasa teruk hingga kerajaan ditumbangkan Perdana Menteri sendiri hanya dalam tempoh 22 bulan.

“Selepas itu bermulalah krisis politik negara dengan drama tikam-menikam, khianat-mengkhianat, lompat si katak lompat,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Justeru, Zahida menyeru rakyat menggunakan kuasa mengundi untuk menghentikan segala ‘kegilaan’ yang berlaku, sekali gus mengembalikan kestabilan dan kemakmuran negara.

“Sebagai pengundi pada PRU15 ini, kalian punya hak dan peluang untuk pulihkan kembali segala kehancuran hasil daripada tangan tangan PH dan serpihan mereka PN dan GTA.

“Gunakan kuasa undi kalian untuk hentikan segala kegilaan ini. Kembalikan kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU15 dan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (PRK DUN) Bugaya, Sabah.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November manakala bagi pengundian awal, ditetapkan ialah pada 15 November ini. – Malaysiapost

Komen