Tak perlu debat, tunggu sahaja hari mengundi’ – Puad
DEBAT politik tidak akan mampu menghasilkan keputusan yang adil sekali gus membuktikan bukan budaya kita.
Malah menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi kemenangan debat politik di negara ini hanya ditentukan melalui penerimaan sorakan penyokong paling kuat, bukannya daripada hujahan fakta daripada debat tersebut.
Katanya, langkah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menolak pelawaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan debat politik adalah tindakan yang tepat.
“Ismail Sabri tolak cabaran debat. Alasannya debat politik bukan budaya kita. Marah Anwar. Dia kata “Mail ni, amende”.
“Debat politik memang bukan budaya kita. Budaya kita ialah “boo”. Fakta tidak penting. Siapa dapat sorakan kuat, dia dianggap menang,” katanya di Facebook, hari ini.
Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Anwar mempelawa calon Perdana Menteri dari setiap blok parti politik mengadakan debat politik yang boleh ditonton secara langsung rakyat seperti yang diamalkan di negara-negara barat.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberi jawapan balas menerima pelawaan Anwar itu, namun Ismail Sabri menolaknya dengan alasan debat politik bukan budaya Malaysia dan tidak pernah diamalkan dalam pilihan raya sebelum ini.
Mohd Puad berkata, hasil debat politik tidak akan memberi impak kepada tindakan Anwar seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
“Anwar pernah berdebat dengan Najib. Apa fakta Anwar? Tak habis habis ‘audit forensik’. Bila audit forensik melaporkan kemenangan Rafizi terhadap Saifuddin adalah tipu, Anwar senyap pula.
“Maka, apa gunanya debat politik. Anwar juga pernah berdebat dengan Ahmad Shabery Ceek. Anwar janji ‘hari ini PKR memerintah, esok harga minyak turun’. Rupanya tipu.
“Tak payahlah debat. Rakyat putuskan 19 November ini,” katanya. – Malaysiapost