Tidak dicalon di Tangga Batu, Naib Presiden Bersatu keluar parti

Tidak dicalon di Tangga Batu, Naib Presiden Bersatu keluar parti

NAIB Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta, hari ini.

Pengumuman peletakan jawatan itu dibuat pada sidang media khas di Pantai Puteri, Melaka, susulan beliau tidak dicalonkan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Tangga Batu, walaupun sudah enam tahun berkhidmat di kawasan itu sejak 2016.

Beliau berkata, surat peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden Bersatu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tangga Batu, Ketua Bersatu bahagian Tangga Batu dan Ketua Bersatu cawangan Cheng sudah dihantar kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin Muhyiddin beberapa hari lalu.

Katanya, ia susulan Muhyiddin dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menghubunginya beberapa hari lalu memaklumkan namanya tidak dicalonkan di Parlimen Tangga Batu, lapor Berita Harian.

Sebaliknya, beliau ditawarkan bertanding di beberapa kerusi alternatif lain termasuk Parlimen Bagan Datuk yang bakal ditandingi Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mohd Rafiq berkata, keadaan itu mengecewakannya selepas menabur usaha dan khidmat saya di Parlimen Tangga Batu selama lebih enam tahun.

“Saya dijanjikan bertanding kerusi Parlimen Tangga Batu sebelum ini tetapi akhirnya nama tidak dicalonkan di situ.

“Bersatu tidak memberi pertimbangan adil dan sewajarnya terhadap khidmat saya selama enam tahun di sini sejak 2016. Jadi, berkuat kuasa hari ini, saya keluar parti ini,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata, menjadi amalan dan tradisi mana-mana parti politik di negara ini memberi keutamaan kepada pemegang jawatan tertinggi parti seperti naib presiden untuk dipertimbangkan sebagai calon di kawasan dipimpinnya.

Justeru, katanya, dalam konteks ini, beliau merasakan struktur parti tidak lagi dihormati.

“Saya mengambil tindakan ini selepas berfikir secara mendalam dan mengadakan perbincangan dengan beberapa pimpinan dan ahli parti serta keluarga,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu, Mohd Rafiq tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas dengan majoriti 2,076 undi.

Mengulas lanjut, Mohd Rafiq berkata, setakat ini beliau belum memikirkan untuk menyertai mana-mana parti politik, sebaliknya ingin meluangkan masa bersama keluarga.

Beliau turut mengakui tidak akan menyertai PRU15, tetapi tetap bersama rakan meneruskan perjuangan dan khidmat bakti menerusi platform badan bukan kerajaan (NGO) di Parlimen Tangga Batu, negeri serta nasional.

“Saya memohon maaf kepada semua pimpinan dan ahli Bersatu khususnya masyarakat di Parlimen Tangga Batu kerana tidak dapat menawarkan diri mewakili suara rakyat Parlimen ini pada PRU15.

“Semoga parti dan pemimpin yang bakal dipilih rakyat pada PRU15 nanti dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab sebaik mungkin demi masa depan agama, bangsa dan negara,” katanya. – Malaysiapost

Komen