Tragedi rempuhan di Itaewon : Malaysia ucap takziah pada Korea Selatan
MENTERI Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah menzahirkan ucapan takziah Malaysia kepada rakyat Korea Selatan berhubung insiden rempuhan pada pesta Halloween di Itaewon, Seoul, semalam.
Menerusi ciapan di Twitter, beliau turut melahirkan rasa sedih atas perkembangan tragedi itu yang dilaporkan telah mengorbankan 153 orang.
“Bagi pihak rakyat Malaysia, saya menzahirkan ucapan takziah kepada rakyat Korea Selatan dan mendoakan supaya keluarga mangsa yang terlibat diberi kekuatan & semua yang tercedera diberikan kesembuhan,” tulisnya dalam ciapan itu.
Saifuddin berkata, Kementerian Luar melalui Kedutaan Malaysia di Seoul akan terus memantau situasi itu.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular agar berhubung dengan pihak kedutaan melalui talian +821089748699.
Media melaporkan lebih 90 yang maut berusia lingkungan 20-an, selain sebilangan mangsa berumur 30-an dan 40-an serta empat remaja.
Jumlah warga asing terkorban pula mencecah 20 mangsa termasuk empat dari China dan Iran; Russia (tiga); di samping masing-masing satu dari Amerika Syarikat (AS), Perancis, Vietnam, Uzbekistan, Norway, Kazakhstan, Sri Lanka, Thailand dan Austria.
Sambutan berkenaan merupakan acara Halloween yang pertama di Seoul dalam tempoh hampir tiga tahun, selepas Korea Selatan menarik balik kebanyakan sekatan Covid-19. – Malaysiapost