Turunlah mengundi, pesan Hadi kepada generasi muda

Turunlah mengundi, pesan Hadi kepada generasi muda

GENERASI muda diingatkan untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekali gus dapat menentukan masa depan negara. 

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata generasi muda perlu melihat kepentingan memilih pemimpin menerusi pilihan raya dengan memanfaatkan peluang yang hadir sekali dalam lima tahun itu.

“Pesanku buat anak-anak dan cucu-cucu semua. Di tangan kalian semua masa depan negara Malaysia tercinta ini.

“Memilih pemimpin bukanlah perkara yang enteng dan remeh. Ya. Sangat penting. Lebih-lebih lagi buat generasi muda. Kerana nasib dan rupa negara terletak pada pemimpin yang dipilih itu,” katanya dalam hantaran di Facebook. 

Selain mengingatkan orang muda mengenai tanggungjawab sebagai pengundi, Abdul Hadi turut menekankan kepentingan memilih ciri-ciri pemimpin yang sepatutnya. 

“Negara akan ditadbir saat kalian sedang menjejaki usia dewasa. Pada usia inilah kalian memerlukan kestabilan dari segi ekonomi, peluang pekerjaan, kos sara hidup yang terkawal dan masa depan yang lebih terjamin. 

“Maka, pilihlah seorang pemimpin yang bersih dan baik. Wahai anak-anak dan cucuku semua! Jangan pernah sekali-kali lupa, bahawa Islam asas hidup kita. Berpegang teguhlah bersama Islam, kita pasti selamat,” katanya. 

Rakyat Malaysia akan turun mengundi pada PRU15 yang diadakan pada 19 November depan. – Malaysiapost

Komen