Umno tak gadai prinsip kerana Waytha Moorthy – Asyraf Wajdi
UMNO menyambut baik sokongan pengasas Hindraf, P Waytha Moorthy terhadap Barisan Nasional (BN), namun menegaskan tidak pernah menggadaikan prinsip perjuangan parti itu selama ini.
Perkara itu dinyatakan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang berkata, parti itu tidak boleh menghalang sesiapa sahaja yang mahu menyokong BN.
“Terdapat tuduhan-tuduhan liar kononnya Umno menggadaikan prinsip parti apabila Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid bertemu dengan pengasas Hidraf Waytha Moorthy dalam satu majlis Deepavali baru-baru ini.
“Pertama sekali, Umno tidak boleh menghalang mana-mana pihak untuk memberikan sokongan kepada kami.
“Malahan, sokongan yang tidak dijangka daripada musuh ini sebenarnya menunjukkan kekuatan sebenar parti yang selama ini dituduh akan pupus dan tidak relevan lagi,” katanya di Facebook.
Bagaimanapun Asyraf menegaskan, sokongan Waytha Moorthy itu tidak bermakna Umno akan berkompromi terhadap perkara yang menggugat gugat Perlembagaan atau bersetuju dengan tindakan Hindraf yang bercanggah dengan undang-undang sebelum ini.
Jelas Asyraf, selama ini BN sentiasa menjaga kepentingan dan kebajikan kaum India tanpa perlu menunggu sokongan Hindraf terhadap gabungan itu.
Menurutnya, sokongan Waytha Moorthy kepada BN hari ini adalah kerana beliau yakin gabungan itu boleh menjaga kebajikan kaum India.
“Tapi sebenarnya tanpa Hindraf sekalipun, Umno dan BN selama ini sentiasa memberikan tumpuan kepada kebajikan kaum tersebut.
“Dalam Bajet 2017 contohnya, kerajaan memperuntukkan lebih RM260 juta bagi pembangunan sosio ekonomi khusus untuk masyarakat India. Daripada jumlah itu, RM150juta disediakan bagi pinjaman perniagaan melalui TEKUN dan AIM.
“Namun di zaman PH (Bajet 2020), peruntukan pinjaman TEKUN bagi kaum India hanyalah RM20 juta sahaja,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata, ‘kesengsaraan’ 22 bulan kaum India pada zaman pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah dialami sejak Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri.
“Kaum India mula diberikan perhatian semula pada zaman Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri. Apabila kerajaan menyediakan RM125juta dalam pelbagai skim pembangunan usahawan kaum India.
“Inilah Barisan Nasional. Kami walau tanpa sokongan mana-mana pihak, tidak pernah berganjak untuk memastikan setiap kaum dapat bersaing dengan adil di negara kita.
“Dan semua ini dilakukan dalam keadaan BN sentiasa berpegang kepada keluhuran perlembagaan dan mempertahankannya,” katanya. – Malaysiapost