2 kakitangan hospital swasta direman, disyaki rosakkan hiasan Deepavali

2 kakitangan hospital swasta direman, disyaki rosakkan hiasan Deepavali

POLIS menahan dua kakitangan sebuah hospital swasta di Klang malam tadi, kerana disyaki merosakkan hiasan lantai tradisional sempena Deepavali, di pusat perubatan tersebut.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao, berkata mereka ditahan ketika hadir untuk memberi keterangan di ibu pejabat daerah malam tadi.

Beliau berkata, kedua-dua suspek adalah individu yang dirakam merosakkan ‘kolam’ berkenaan, dan orang yang merakamnya.

“Mereka masing-masing berusia 20-an dan 30-an itu direman selama tiga hari bermula hari ini,” katanya.

Katanya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja memudaratkan, atau cuba memudaratkan keadaan harmoni atau perpaduan.

Semalam, tular video berdurasi 37 saat di aplikasi Tik Tok memaparkan seorang lelaki yang berpakaian lengkap baju Melayu memijak hiasan itu lalu merosakkannya.

Perbuatan berkenaan mengundang kecaman ramai yang menyifatkan tindakan itu tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati budaya agama lain.

Sebelum ini, KPJ Klang dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menyedari mengenai penyebaran video membabitkan suspek yang didakwa kakitangan mereka terbabit di media sosial.

Menurut kenyataan itu, KPJ Klang tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan jelik dan tidak profesional daripada mana-mana kakitangan mereka dan akan menjalankan siasatan. – Malaysiapost

Komen