81 maut tragedi jambatan gantung runtuh di Gujarat
KIRA-KIRA 81 mangsa maut selepas sebuah jambatan gantung berusia hampir 150 tahun runtuh di Gujarat, di barat India petang semalam.
Media tempatan melaporkan, beratus-ratus orang terhumban ke dalam Sungai Machchhu di wilayah Morbi, kira-kira 200 kilometer (km) ke barat Ahmedabad, bandar utama di Gujarat, selepas jambatan itu mula runtuh dan tenggelam.
Jambatan gantung sepanjang 233 meter dan 1.5 meter lebar itu dibina pada 1880 oleh penjajah British, menggunakan bahan yang diimport dari England.
Pihak berkuasa berkata kira-kira 500 orang berada di lokasi kejadian dan mereka masih meneruskan usaha menyelamatkan mangsa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak yang sedang meraikan upacara keagamaan.
Seorang menteri dalam kerajaan negeri Gujarat, Brijesh Merja, berkata lebih 80 mangsa berjaya diselamatkan dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang.
Jambatan berkenaan hanya dibuka semula pada Rabu lalu selepas menjalani kerja baik pulih selama tujuh bulan, walaupun belum menerima kelulusan mengesahkan keselamatannya.
Semalam, pihak berkuasa melancarkan operasi menyelamat dengan bot dan penyelam dikerah mencari mangsa sehingga lewat malam.
Sementara itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi, yang berada di Gujarat dalam lawatan tiga hari, amat sedih dengan tragedi itu serta mengumumkan pampasan untuk mangsa yang cedera selain waris mereka yang meninggal dunia. – Malaysiapost