ATM tahan 8 PATI Myanmar sembunyi dalam belukar
ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menahan lapan pendatang tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang cuba masuk ke negara ini melalui sempadan Thailand dengan menggunakan laluan yang tidak sah
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) menerusi kenyataan memaklumkan mereka ditahan di sektor OP BENTENG, kawasan tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia, jam 11.30 pagi semalam.
Menurutnya, susulan maklumat risikan, pasukan operasi mengesan pergerakan sekumpulan individu mencurigakan melalui sempadan negara sebelum menahan lapan individu yang bersembunyi di kawasan belukar di kebun getah, Bukit Tangga.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemuanya adalah lelaki warga Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan berumur antara 25 hingga 45 tahun.
“Turut dirampas adalah empaf telefon bimbit, wang tunai matawang Malaysia, Myanmar dan Thailand serta beg pakaian dengan anggaran nilai rampasan RM2,503.70.
“Kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut 2 Division lagi, pasukan operasi akan terus mempertingkatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan khusunya kemasukan PATI. – Malaysiapost