Calon PRU-15 positif Covid-19 perlu asingkan diri – KJ

Calon PRU-15 positif Covid-19 perlu asingkan diri – KJ

CALON-calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) terutama yang didapati positif Covid-19 diingatkan mengambil tanggungjawab dengan mengamalkan langkah keselamatan kesihatan yang perlu semasa berkempen.

Menteri Kanan Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata kesemua pengundi yang layak dan calon pada PRU-15 yang positif Covid-19 adalah dibenarkan mengundi.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) untuk pilihan raya berkenaan bagi yang positif Covid-19 membuang undi.

“Itu untuk mengundi..sebab mengundi ini hak dalam Perlembagaan. Tetapi kalau calon itu positif..untuk berkempen dia kena asingkan diri.

“Itu tanggungjawab yang perlu diambil. Jika anda calon dan didapati positif anda perlu asingkan diri untuk beberapa hari,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurutnya, calon-calon berkenaan masih boleh berkempen secara atas talian dan mempunyai tempoh selama dua minggu untuk berkempen.

“Dalam tempoh tiga hingga empat hari anda akan pulih. Kerana tempoh berkenaan yang diperlukan untuk pulih daripada Covid-19 sekarang ini,” katanya.

Beliau berkata, antara langkah yang disarankan kepada semua yang terbabit dalam PRU-15 adalah pemakaian pelitup hidung dan mulut.

“Apa yang sangat disyorkan kepada petugas SPR adalah untuk memakai pelitup muka dan juga kepada pengundi apabila mereka ke pusat mengundi, terutama mereka yang didapati positif Covid-19,” katanya.

Terdahulu dalam sidang media sama, beliau memaklumkan trend kenaikan jangkitan Covid-19 ketika ini berada pada tahap sederhana, didorong oleh varian Omicron Subvarian XBB yang menjadi punca kepada gelombang terbaru di Singapura.

Menurutnya, peningkatan itu, bagaimanapun, terkawal dan tidak membimbangkan, namun langkah berjaga-jaga perlu diambil. – Malaysiapost

Komen