Gelanggang dibuka, takkan kami tak masuk, Pemuda PAS jawab Asyraf Wajdi

Gelanggang dibuka, takkan kami tak masuk, Pemuda PAS jawab Asyraf Wajdi

“MUSTAHIL nak bagi menang percuma,” demikian kata Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari kepada Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Fadhli menjawab kenyataan Asyraf Wajdi yang menempelak Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini mendakwa mahu menumpukan usaha kepada isu banjir namun ‘beria-ria’ berkempen bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Dia begini bos, apabila gelanggang dibuka, takkanlah kami tak masuk, mustahil nak bagi menang free, lagipun belum tentu BN boleh menang kali ini.

“Rekod di peringkat nasional selama 60 tahun memerintah negara rakyat masih ingat. Soal banjir, kerajaan negeri siap sedia.

“Tiga MB (Menteri Besar) kami tak bertanding pun, jangan bimbang. Soal pilihan raya, kami juga siap sedia,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli menegaskan, golongan muda perlu memilih PN yang jelas bersih dan stabil, sama seperti tema PRU15 gabungan itu iaitu Bersih dan Stabil.

“Yang stabil sahaja tapi tak bersih, akan menghancurkan negara. Stabil, tapi duit negara hilang, stabil tapi tanah rizab Melayu menyusut, stabil tapi kawasan parlimen untuk negeri Melayu lebih sedikit, ini di zaman siapa?

“Bersih, tapi tak stabil juga belum cukup. Lalu, kita tawarkan Bersih dan Stabil. Jangan bimbang, kita lawan cara sihat,” katanya.

Asyraf Wajdi sebelum ini berkata, PN dan PH kini kelihatan paling ‘beria-ria’ berkempen dan aktif memperkenalkan calon masing-masing sekali gus membuktikan mereka takut kalah serta enggan Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri dikuasai mereka dibubarkan.

“Itu contoh hipokrasi blok politik tersebut yang sebelum ini memainkan sentimen kemarahan rakyat apabila kerajaan bubar Parlimen pada 10 Oktober lalu,” katanya.

Enam negeri di bawah PN yang tidak membubarkan DUN ialah Kelantan, Terengganu dan Kedah, tiga lagi negeri yang mengambil tindakan sama ialah Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, semuanya di bawah PH. – Malaysiapost

Komen