Ilham Centre: Ismail Sabri calon PM paling popular
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob mendahului senarai calon paling popular sebagai Perdana Menteri dalam kalangan pengundi.
Ia hasil dapatan yang dilakukan firma penyelidikan Ilham Centre dalam tinjauan yang dilakukan selama dua bulan bermula 1 Ogos hingga 30 September, sebelum Parlimen dibubarkan 10 Oktober lalu.
Menerusi tinjuan itu, Ismail Sabri menjadi pilihan pertama dengan memperoleh 19 peratus responden.
Sehubungan itu, beliau dilihat mungkin akan mengekalkan kedudukannya selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Manakala, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Perikatan Nasional (PN) di tempat kedua dengan 13 peratus responden.
Tinjauan itu juga mendapati Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim masing-masing ditempat ketiga daripada segi populariti.

Ketika Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri, Malaysia melonggarkan kebanyakan sekatan Covid-19 dan membuka semula sempadan sekali gus memacu ekonomi berkembang pantas dalam tempoh April hingga Jun.
Pemulihan ekonomi menjadi isu paling penting menerusi tinjauan responden itu dengan 44 peratus berpendapat memulih dan meningkatkan ekonomi perlu menjadi keutamaan.
Sementara itu, Umno turut mendahului tinjauan dengan 31.8 peratus. Meskipun keputusan itu memberi dorongan kepada Ismail Sabri dan Umno dalam persiapan PRU15 zaman parti politik dan pemimpin meraih 50 peratus sokongan telah berlalu. – Malaysiapost