Janji pilih calon WALI, namun kedengaran banyak ‘winners’ dipancung – Annuar Musa

Janji pilih calon WALI, namun kedengaran banyak ‘winners’ dipancung – Annuar Musa

MENJELANG lima hari lagi sebelum penamaan calon, khabar angin bertiup kencang membayangkan berlaku ‘krisis’ dalam pemilihan calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perkara itu dikuatkan lagi apabila, penyandang Kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa seolah-olah memberi bayangan bahawa wujud konflik berkenaan pemilihan calon gabungan itu, ketika ini.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Annuar berkata, semua bakal calon BN sudah dibawa menandatangani dokumen dan akujanji sejak dua hari lalu, sekali gus menyebabkan pelbagai spekulasi tersebar.

“Nampaknya, walau perlembagaan (parti) menghuraikan dengan jelas skop dan kaedah pemilihan calon, nampaknya sekali lagi ia tidak diendahkan,” katanya dalam hantaran berkenaan.

Malah Annuar berkata, sebelum ini lima pemimpin tertinggi Umno atau dikenali ‘Top 5’ dijanjikan diberi kuasa merunding bagi pihak Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berhubung pemilihan calon.

“Namun ahli TOP5 mengesahkan list (senarai) itu ditapis lagi oleh ‘high up’. Proses sedang berjalan,” katanya yang tidak memperincikan mengenai perkara itu.

Beliau berkata, sebelum ini parti memberi jaminan calon yang bakal ditampilkan mempunyai ciri-ciri ‘WALI’ merujuk kepada boleh memenangi (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable), namun yang berlaku sebaliknya.

“Janji kononnya bakal dipilih adalah para WALI, namun kedengaran sana-sini banyak sudah ‘winners’ di pancung, terutama yang dekat dengan PM…tapi itu rumours (yang tidak semestinya tidak berasas).

“Apapun kita berilah ruang secukupnya kepada pucuk pimpinan untuk merunding dan memilih,” katanya.

Menurut Annuar lagi, semua pihak perlu berlapang kerana untuk menjadi calon mereka tidak boleh ‘meminta-minta’.

“Tak perlulah melobi lobi. Ia satu amanah, tanggungjawab untuk memenangkan cukup kerusi bagi parti. Jika tidak,berkubur dua kali.

“Kurangkan spekulasi. Tunggu saja pengumuman rasmi sehari dua saja lagi,” katanya.

Terdahulu, spekulasi bertiup kencang mendakwa Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertindak mencantas calon-calon pro Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Antara nama yang disebut-sebut tidak ada dalam senarai calon BN termasuk Annuar, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Zahidi Zainul Abidin. – Malaysiapost

Komen