Kes Yayasan Akalbudi: ‘Mazlina tidak bergaul, suka bertindak sendiri’ – Saksi

Kes Yayasan Akalbudi: ‘Mazlina tidak bergaul, suka bertindak sendiri’ – Saksi

Nahar Tajri

KETUA Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly seorang yang tidak bergaul, menyendiri dan suka mengambil tindakan berseorangan hingga menyebabkan beberapa insiden berlaku sebelum ini.

Suriani berkata, antara yang diingatinya adalah ketika beliau meminta untuk bertemu dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid bagi memaklumkan beberapa perkara mengenai hal Kementerian Pertahanan, namun tidak mendapat maklum balas daripada Mazlina.

Mazlina yang juga bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid itu katanya, memberi laluan kepada beberapa individu lain bertemu Ahmad Zahid tetapi membiarkan beliau menunggu selama 25 minit hingga akhirnya terpaksa pulang hampa.

Beliau yang ketika itu menjawat jawatan Setiausaha Bahagian (SUB) di Kementerian Pertahanan berasa agak ralat dengan insiden berkenaan.

“Apabila saya bertanya kepada Mejar Mazlina, beliau tidak memberi maklum balas kepada saya, oleh itu saya berdiri sahaja di luar pintu bilik mesyuarat Datuk Seri Ahmad Zahid untuk menunggu giliran.

“Selepas 25 minit menunggu saya tidak dipanggil atau dibenarkan masuk oleh Mejar Mazlina sehingga Datuk Seri Zahid telah beredar dari tempat tersebut,” katanya dalam kenyataan saksi di Mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran kemudian mengatakan bahawa kenyataan saksi itu hanya bertujuan memburukkan imej Mazlina namun ia tidak dipersetujui oleh Suriani.

Suriani selain itu menyangkal bahawa beliau berasa dendam terhadap Mazlina kerana beberapa insiden yang kurang menyenangkan antara mereka berdua sepanjang berkhidmat kepada Ahmad Zahid.

Jelasnya, beliau hanya memaklumkan apa yang beliau tahu mengenai bekas pembantu Ahmad Zahid itu.

Suriani selain itu mengakui kenyataan saksi berkenaan disediakan oleh pihak pembelaan namun ia adalah atas persetujuannya.

“Mereka (pembelaan) beri saya draf dan saya buat beberapa pindaan untuk disesuaikan dengan pengetahuan saya dan pengalaman saya,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno ketika ini sedang menjalani perbicaraan bela diri atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi di mahkamah di Kuala Lumpur. – Malaysiapost

Komen