Khairuddin nasihat Takiyuddin supaya kekal bersaudara meskipun ‘berbeza’
BEKAS Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman mengingatkan Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk terus kekal bersaudara walaupun berbeza haluan.
Mohd Khairuddin berkata demikian bagi mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS itu, mendakwa beliau tidak layak memberi nasihat kepada ahli PAS memandangkan kedudukan yang bukan lagi dalam parti itu.
“Terima kasih sahabatku Datuk Seri Takiyuddin. Kita kekal bersaudara meski berbeza,” tulisnya dalam hantaran berkenaan.
Dalam masa sama, Mohd Khairuddin sekali lagi mengulangi pendirian bahawa musuh politik PAS dan Umno adalah Pakatan Harapan (PH).
“Musuh politik kita bersama ialah PH sebagaimama diputuskan oleh Muzakarah Majlis Syura Ulamak bertarikh 30 Disember 2021.
“Ia berhubung kewajipan mengekang kemenangan PH sebagai matlamat pertama bagi PRU ke 15 agar tidak berulang lagi ancaman 22 bulan PH,” katanya.
Terdahulu, Takiyuddin membidas kenyataan Mohd Khairuddin yang menyeru ahli parti itu mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi mengelak mudarat PH.
Takiyuddin berkata, Mohd Khairuddin bukan lagi ahli PAS dan nasihat seumpama itu tidak sepatutnya disuarakan bekas Ahli Jawatankuasa Pas tersebut.
“Dia tidak layak beri nasihat kerana dia bukan lagi ahli PAS. Anda (Mohd Khairuddin) adalah orang asing bagi Pas sekarang,” katanya.
Sebelum ini, Mohd Khairuddin menyeru ahli PAS supaya mengundi BN bagi menyekat kemenangan PH.
Menurut penyandang kerusi Parlimen Kuala Nerus itu, tindakan itu penting kerana PH bakal memberi lebih kemudaratan terhadap negara jika diberi mandat semula menguasai tampuk kerajaan.
Sebelum ini, Takiyuddin berkata, PAS kekal dengan pendirian tidak pernah menganggap BN sebagai musuh walaupun tidak bekerjasama pada PRU15 sekali gus menjelaskan, musuh mereka sama ada Pas dan BN adalah PH. – Malaysiapost