Kit Siang harap kerusi Parlimen yang pernah diwakili jadi kubu kuat
LIM Kit Siang berharap lima kerusi Parlimen yang pernah dimenanginya akan menjadi kubu kuat Impian Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia dalam tiga ke empat dekad yang akan datang.
Veteran DAP itu berkata, dalam 57 tahun kegiatan politiknya, beliau telah bertanding di lima negeri iaitu Melaka, Selangor, Pulau Pinang, Perak, dan Johor.
“Saya berharap, lima kawasan Parlimen yang pernah diwakili dalam enam dekad yang lepas iaitu Kota Melaka, Petaling di Selangor; Tanjong di Pulau Pinang; Ipoh Timur di Perak; dan Iskandar Puteri di Johor, akan menjadi kubu kuat untuk menyebarkan cita-cita Impian Malaysia.
“Di mana terdapatnya perpaduan dalam kepelbagaian, di mana semua orang melihat diri mereka pertamanya sebagai rakyat Malaysia, walaupun mereka adalah orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Dayak, atau Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh, Tao, sama ada mereka dari Semenanjung, Sabah, atau Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai potensi untuk menjadi di antara negara terbaik di dunia, memandangkan berada di titik pertemuan empat tamadun hebat dunia iaitu Melayu/Islam, Cina, India, dan Barat.
“Tetapi kita masih belum berjaya menggunakan nilai-nilai terbaik dari keempat-empat tamadun ini dan telah tersesat jalan dalam usaha pembinaan negara bangsa dalam enam dekad yang lepas,” katanya.
Kit Siang meminta pengundi di Malaysia untuk bertanya dua soalan pada hari mengundi 19 November ini, sama ada Malaysia boleh diselamatkan dan sama ada berbaloi untuk diselamatkan.
“Sekiranya Malaysia tidak boleh atau tidak berbaloi diselamatkan, maka itulah pengakhiran kisahnya. Namun, Malaysia masih boleh diselamatkan dan patut diselamatkan.
“Malaysia belum mencapai tahap sebuah negara yang rosak, gagal, dan berpecah belah sepenuhnya seperti Sri Lanka atau Zimbabwe, walaupun gagal untuk mencapai cita-cita untuk menjadi sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia,” katanya.
Menurutnya, usaha mencapai Impian Malaysia bukanlah satu usaha jangka pendek yang mengambil masa satu atau lima tahun, sebaliknya usaha jangka panjang yang memakan masa berdekad lamanya dan perlu dimulakan sekarang.
“Saya menyeru pengundi di lima kawasan Parlimen yang pernah saya wakili untuk memainkan peranan utama dalam kempen nasional menyelamatkan dan menjadikan Malaysia negara majmuk hebat bertaraf dunia yang diiktiraf dunia,” katanya.
Kit Siang dalam ucapannya di Kongres Kebangsaan DAP ke-17, di Shah Alam, pada 20 Mac lalu mengumumkan persaraannya selepas hampir enam dekad berkecimpung dalam arena politik tanah air.
Penyandang kerusi Parlimen Iskandar Puteri itu turut mengumumkan menarik diri dari bertanding pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP dan tidak akan bertanding pilihan raya Parlimen atau Negeri di masa hadapan. – Malaysiapost