KJ sedia terima mana-mana kawasan untuk PRU-15
“SAYA terima mana-mana kawasan yang diberikan kepada saya,” kata penyandang kerusi Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin ketika ditanya mengenai kawasan Parlimen yang akan ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Beliau yang juga Menteri Kanan Kesihatan bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai khabar angin mengatakan namanya akan dicalonkan untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh.
“Tak tahulah…saya rasa semua keputusan berkenaan dengan calon pilihan raya ini akan diumumkan tidak lama lagi nanti.
“Biarlah diumumkan oleh pucuk pimpinan parti,” katanya dalam sidang media hari ini.
Khairy Jamaludin yang lebih mesra dikenali sebagai KJ sebelum ini dilaporkan memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding di kerusi Parlimen Rembau yang dimenanginya selama tiga penggal.
Sebelum ini beberapa kerusi Parlimen di Negeri Sembilan disebut-sebut akan ditandingginya, antaranya Tampin, Kuala Pilah dan Port Dickson yang juga kerusi Barisan Nasional (BN) tewas pada pilihan raya umum yang lalu.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau, kini turut dikhabarkan akan dicalonkan bagi kerusi Sungai Buloh.
Setakat ini, PKR menamakan Timbalan Ketua Penerangan parti itu, Datuk R. Ramanan sebagai calon di Sungai Buloh bagi menggantikan penyandangnya R Sivarasa.
Pada PRU-14 Parlimen Sungai Buloh dimenangi Sivarasa dengan 43,631 undi menewaskan Nuridah Mohd Salleh dari Pas (16,977 undi), A Prakash Rao mewakili BN (16,681 undi) dan Zainurizzaman Moharam dari PSM (642 undi). – Malaysiapost