Manifesto kitab suci: Boleh percaya ke tu?

Manifesto kitab suci: Boleh percaya ke tu?

DATUK Mohd Puad Zarkashi mempertikaikan janji baharu Angkatan Muda Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa manifesto mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai ‘kitab suci’

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu turut memberi perumpamaan mereka seolah-olah seperti pencuri di siang hari, yang awal-awal lagi sudah mahu menjadi pembohong.

“Dulu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata manifesto PH bukan ‘kitab suci’ selepas gagal menunaikan janji.

“Kali ini, Pemuda PH pula istihar manifesto mereka adalah ‘kitab suci’. Sebagai ‘kitab suci’ mereka berharap pengundi akan percaya?,” soalnya menerusi Facebook, hari ini.

Mohd Puad mempersoalkan adakah ‘kitab suci’ hanya kata-kata berniat jahat untuk mengaburi mata rakyat supaya percaya bulat-bulat janji PH.

Beliau secara sinis turut mempertikaikan tawaran Kembara Siswa yang menjadi intipati utama manifesto PH.

“Antara janji baharu kali ini ialah Kembara Siswa, skim di mana tiket penerbangan antara Sabah atau Sarawak ke Semenanjung pada kadar tetap RM199.

“Boleh percaya ke tu?,” tanya Mohd Puad.

Semalam, Angkatan Muda PH berjanji 25 intipati tawaran anak muda harapan yang diketengahkan sebagai manifesto pada PRU15 adalah ‘kitab suci’.

Janji itu dibuat Ketua Angkatan Muda PH, Dr Kelvin Yii Lee Wuen, yang kembali membangkitkan ingatan terhadap stigma ‘manifesto bukan kitab suci’ yang terpalit kepada PH selepas kenyataan dibuat bekas pemimpinnya, Dr Mahathir.

Dr Mahathir yang ketika itu Perdana Menteri mengetuai pentadbiran PH selama 22 bulan selepas PRU14, mengingatkan bahawa manifesto PH bukan kitab suci.

Kelvin yang juga Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), menegaskan manifesto adalah janji yang akan ditunaikan PH sekiranya diberi mandat mentadbir negara selepas 19 November ini. – Malaysiapost

Komen