MUDA bertanding di Sabah – Syed Saddiq

MUDA bertanding di Sabah – Syed Saddiq

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menamakan Naib Presidennya Shahrizal Denci sebagai calon di kerusi Parlimen Kota Marudu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, penamaan calon itu sekaligus menjadikan secara rasminya parti berkenaan akan bertanding di Sabah.

“Saudara Shahrizal atau lebih dikenali sebagai ‘Chal’ adalah Naib Presiden MUDA dan salah seorang pengasas Parti MUDA. Dialah antara orang pertama yang mengasaskan MUDA Sabah.

“Seorang anak jati Sabah dan petani moden yang dah banyak membantu ramai usahawan muda di Sabah. Saudara Chal juga banyak mengangkat isu rakyat di Sabah dan ‘food security’ di Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berharap pengundi di Kota Marudu memberi peluang kepada calon parti MUDA berkenaan untuk berkhidmat kepada rakyat.

Sementara itu, Shahrizal menyifatkan pemilihannya sebagai sebagai calon P168 Kota Marudu ialah tanggungjawab yang sangat besar.

“Saya akan berusaha dan menggalas semua tanggungjawab dengan baik. Sebagai anak jati Sabah. Saya percaya bahawa semua rakyat Kota Marudu berhak mendapat seorang pemimpin yang bertanggungjawab, berdedikasi dan amanah.

“Oleh itu saya bertekad menawarkan khidmat dan bersedia untuk menyerahkan jiwa dan raga saya buat seluruh rakyat di Kota Marudu,” katanya. – Malaysiapost

Komen