PM ucap takziah kepada keluarga mangsa tragedi Itaewon
PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada rakyat Korea Selatan susulan tragedi di Itaewon, kelmarin yang mengorbankan lebih 150 nyawa.
“Bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada rakyat Republik Korea, berikutan tragedi ngeri di Itaewon, Seoul pada 29 Oktober 2022.
“Doa dan simpati kami kepada mangsa serta keluarga mereka,” katanya dalam ciapan di Twitter, hari ini.
Dalam tragedi Sabtu lalu, seramai 153 dilaporkan terkorban dan 19 daripadanya dikenal pasti sebagai warga asing berasal dari Iran, Uzbekistan, China dan Norway, manakala 82 lagi dilaporkan cedera.
Kementerian Luar Negeri turut dilaporkan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Korea, bagi memastikan kesahihan berkaitan dakwaan ada rakyat Malaysia terkorban dalam insiden rempuhan ketika perayaan Halloween itu.
Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, pihaknya melalui Kedutaan Malaysia di Seoul akan terus memantau situasi itu.
Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular supaya berhubung dengan pihak kedutaan melalui talian +821089748699. – Malaysiapost