PRU15: Annuar Musa tidak dicalonkan di Ketereh?
HANYA berbaki lima hari sebelum penamaan calon, timbul spekulasi menyatakan penyandang kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa tidak dicalonkan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sebaliknya Ketua Puteri Umno Kelantan, Marzuani Ardila Ariffin, dilapor bakal bertanding di kerusi itu menggantikan Menteri Komunikasi dan Multimedia tersebut, lapor Berita Harian.
Difahamkan pertukaran nama pada saat akhir itu ada kaitan dengan kelantangan Annuar yang mengkritik kepimpinan Umno secara terbuka sebelum ini.
Dikatakan maklumat mengenai Ketua Bahagian Umno Ketereh itu tidak dicalonkan pada PRU15 mula tular sejak pagi tadi.
Pada PRU14, Annuar menang dengan majoriti 4,626 undi menewaskan Wan Ismail Wan Jusoh dari PAS dan Datuk Dr Radzi Jidin dari Bersatu.
Annuar sebelum ini menegaskan tidak akan bertanding di tempat lain selain Ketereh yang juga tempat kelahirannya, jika ditawar menjadi calon PRU ini.
Beliau berkata, pendirian itu sudah menjadi prinsipnya sejak dulu lagi dan tidak berpindah walaupun ketika kalah sebelum ini.
Media sebelum ini melaporkan, Umno akan memastikan calon yang dipilih pada PRU15 adalah pemimpin yang mempunyai disiplin tinggi, tidak ‘besar kepala’ serta berani mempertahankan parti itu daripada diperlekehkan. – Malaysiapost