PRU15: Annuar Musa tidak dicalonkan hanya khabar angin

PRU15: Annuar Musa tidak dicalonkan hanya khabar angin

SPEKULASI bahawa penyandang Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanya khabar angin.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Sebaliknya, beliau meminta semua pihak menunggu keputusan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung sebarang isu pencalonan.

Katanya, beliau sudah menghantar senarai nama kepada Ahmad Zahid, serta mengesahkan tiga penyandang Parlimen termasuk Annuar adalah senarai nama yang diberi keutamaan.

“Tugas saya sudah selesai dan selebihnya keputusan penuh bergantung kepada presiden parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas khabar angin mengatakan Annuar tidak dicalonkan di Parlimen Ketereh.

Ahmad Jazlan yang juga penyandang Parlimen Machang berkata, mana-mana yang merasakan beliau adalah calon sebenarnya tidak selagi belum menerima watikah.

“Saya sendiri belum menerimanya lagi. Mungkin senarai calon akan diperoleh dalam masa terdekat,” katanya.

Terdahulu, timbul spekulasi menyatakan Annuar tidak dicalonkan bertanding pada PRU15.

Sebaliknya, Ketua Puteri Umno Kelantan, Marzuani Ardila Ariffin, dilapor bakal bertanding di kerusi itu menggantikan Menteri Komunikasi dan Multimedia tersebut.

Difahamkan, pertukaran nama pada saat akhir itu ada kaitan dengan kelantangan Annuar yang mengkritik kepimpinan Umno secara terbuka sebelum ini. – Malaysiapost

Komen