Rafizi jangan nafikan jasa Tun M – Khairuddin
KETUA Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menempelak Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli kerana cuba menafikan jasa Tun Dr Mahathir Mohamad dan bersikap angkuh.
Beliau menegaskan Dr Mahathir bersama Pakatan Harapan (PH) yang bertanding di bawah logo PKR, berjaya menewaskan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Wilayah Persekutuan berkata, Pengerusi Pejuang (Dr Mahathir) yang telah berjaya membuat peralihan undi Melayu atas pagar memangkah PH pada waktu itu.
“Ini fakta yang tidak boleh dipadamkan oleh sesiapa pun.
“Presiden PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri pada waktu itu masih merengkok dalam penjara dan semua gerak kerja strategi di lapangan diketuai Dr Mahathir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sejak pilihan raya tahun 1999 sehingga PRU-13 Anwar dan PKR gagal untuk menubuhkan kerajaan.
Beliau berkata, tiada siapa boleh menafikan bahawa faktor serta aura Dr Mahathir yang telah berjaya membantu PH menumbangkan Umno dan BN setelah lebih 60 tahun memerintah negara.
“Sebenarnya, Rafizi adalah ‘kaki putar belit’ fakta dan segala hasil keputusan kaji selidik beliau diubah mengikut cita rasa maklumat yang hendak disampaikan kepada rakyat.
“Malah, banyak daripada hasil kaji selidik Rafizi yang tidak tepat. Selalu bercanggah dengan ramalan beliau,” dakwanya.
Khairuddin menjelaskan, keputusan Dr Mahathir untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) serta berjumpa dengan Anwar adalah atas desakan rakyat.
Katanya, inilah kekuatan Dr Mahathir berpolitik yang sanggup mengenepikan ego mahupun perbezaan pendapat pada masa lalu demi memastikan dapat menewaskan Umno dan BN.
“Sekiranya Rafizi angkuh dan berkeyakinan pembangkang boleh menang PRU-15 secara bertanding solo, kita hendak lihat di mana PH mahupun PKR akan berada selepas PRU-15.
“PH akan hilang lebih banyak kerusi kerana perpecahan dalaman sesama mereka serta rakyat juga sudah hilang keyakinan dengan kepimpinan Anwar.
“Biar Rafizi ‘terjun dengan labu-labunya,” katanya.
Sebelum ini, Rafizi bertegas bahawa PH tidak perlu bekerjasama dengan Dr Mahathir pada PRU-15 untuk meraih sokongan orang Melayu.
Rafizi mendakwa berdasarkan datanya bekas Perdana Menteri itu tidak membawa undi Melayu untuk gabungan itu pada pilihan raya sebelum ini. – Malaysiapost