Sebenarnya amat mudah nak tahu siapa pengkhianat, Tun M jawab Muhyiddin
TUN Dr Mahathir Mohamad mendakwa Tan Sri Muhyiddin cuba menafikan bahawa beliau adalah pengkhianat yang terlibat dengan Langkah Sheraton apabila cuba mengaitkan dirinya dengan isu terbabit.
Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu, berkata Muhyiddin adalah individu yang memecatnya sebagai Pengerusi Bersatu, selain mendakwa beberapa pemimpin parti itu juga tidak bersetuju dengan Langkah Sheraton berkenaan.
“Minggu lalu, Haji Hadi (Tan Sri Abdul Hadi Awang) yang sekarang bersama Muhyiddin di dalam Perikatan Nasional (PN) mengaku dia yang gerak Langkah Sheraton bersama Muhyiddin. Setelah itu dia calon Muhyiddin jadi PM.
“Sebenarnya amat mudah nak pastikan siapa pengkhianat. Ada satu ungkapan Bahasa Latin cui bono – yang bermakna siapa yang mendapat keuntungan dari sesuatu keadaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Mahathir berkata, Muhyiddin adalah Perdana Menteri ‘pintu belakang’ atau ‘tebuk atap’ yang didakwa takut kehilangan hilang jawatan Perdana Menteri sehingga menyekat Parlimen bersidang.
“Bukankah Muhyiddin juga PM yang minta isytihar darurat supaya Parlimen tidak dapat bersidang?
“Muhyiddin tidak malu, walau perisytiharan darurat yang dimintanya ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong, dan sanggup minta perisytiharan sekali lagi demi dapat kekal jawatan,” katanya.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, Muhyiddin juga menuduhnya bersetuju supaya Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menjadi Perdana Menteri, namun tidak mendedahkan soalannya sama ada beliau memegang jawatan itu dengan sokongan kleptokrat.
“Dia jawab sanggup dan dengan angkuh berkata dia tahu macam mana mahu tangani kerana dia ada pengalaman politik lebih 40 tahun.
“Akhirnya Muhyiddin tersembam selepas cuma 17 bulan menjadi Perdana Menteri selepas dikhianati oleh Ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) yang sebelum itu bersama-sama mengkhianati rakyat untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang,” katanya.
Menjawab mengenai cadangannya yang sanggup menawarkan kerjasama antara Pejuang/GTA bersama PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum ini, Dr Mahathir berkata, beliau cuba bersangka baik.
“Saya cuba bersangka baik bahawa setelah dijatuh dan dihina oleh Umno, dia taubat atau merasa kesal dengan perbuatannya.
“Dia khianat kepada saya tidak mengapa. Saya sangka dia akan cuba tebus khianatnya kepada Bersatu sehingga hilang beberapa negeri, dan kepada rakyat keseluruhan. Rupanya dia tetap angkuh dan hanya mahu menjadi PM,” katanya.
Dr Mahathir berkata demikian bagi menjawab kenyataan Muhyiddin mendakwa gerakan membawa keluar Bersatu daripada Pakatan Harapan (PH) pada 2020, dimulakan Dr Mahathir.
Muhyiddin mendakwa Dr Mahathir membuat pusingan U di saat akhir, apabila Majlis Presiden PH dalam mesyuarat pada 21 Februari 2020 mengambil keputusan terus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri. – Malaysiapost