Serah Tanjung Piai kepada MUDA, Mazlan sifatkan pimpinan Amanah lemah

Serah Tanjung Piai kepada MUDA, Mazlan sifatkan pimpinan Amanah lemah

KEPUTUSAN Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyerahkan kerusi Parlimen Tanjung Piai kepada MUDA, mengulangi detik hitam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Negeri Johor, Mazlan Aliman berkata meskipun penegasan telah diberi kepada pimpinan khususnya kepada Presiden dan Timbalan Presiden Amanah, ia gagal dipertahankan.

“Kerusi pinjam di Parlimen Ayer Hitam pun gagal diambil semula. Nampaknya, ia menjadi milik DAP ‘buat selama lamanya’.

“Berbeza PKR dan DAP, kepimpinan Amanah begitu lemah dalam menangani rundingan kerusi yang menimbulkan rasa tidak puas hati ahli dan penyokong parti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mazlan menegaskan berbaki beberapa hari lagi sebelum penamaan calon PRU15 pada Sabtu ini, keputusan di Parlimen Tanjung Piai mesti dirunding semula.

Beliau juga mahu kerusi tersebut dikembalikan kepada Amanah seperti mana yang diputuskan sebelum ini.

“Amanah Negeri Johor mesti dilihat mengurus emosi dan moral ahli parti yang cukup terkesan dengan situasi penuh kontroversi ini.

“Barang diingat mandat kepimpinan diperoleh dari ahli parti yang menjadi perwakilan dalam pemilihan. Bahkan, mereka yang bertungkus lumus dan berkorban apa sahaja bagi memenangkan parti setiap kali pilihanraya.

“Saya amat sedih dengan episod ini meskipun kita sentiasa merai dan menghargai rakan rakan DAP, PKR dan MUDA,” katanya.

Semalam MUDA mengumumkan tiga calon pertamanya untuk PRU15 iaitu bagi Parlimen Kepala Batas, Tanjong Karang dan Tanjung Piai.

Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz berkata, tiga kerusi Parlimen tersebut merupakan antara kerusi-kerusi Parlimen yang telah disepakati hasil rundingan bersama PH awal hari ini.

Kerusi Tanjung Piai bakal ditandingi pengasas bersama MUDA iaitu Lim Wei Jiet. – Malaysiapost

Komen